STL 2020 minggu keempat ditunda

in Khas by

SAINGAN minggu keempat yang juga minggu terakhir bagi pusingan pertama Liga Sepak Takraw (STL) 2020 Divisyen Premier ditunda hingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Penundaan berkenaan dibuat susulan kenyataan media daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berhubung seorang pegawai yang terlibat dengan STL 2020 telah menaiki bas yang turut dinaiki seorang penumpang yang disahkan positif Covid-19.

Difahamkan, pegawai berkenaan yang kini sedang menjalani kuarantin di bawah pemantauan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebarang keputusan mengenai tarikh baharu saingan STL 2020 itu akan diputuskan pada mesyuarat bersama exco-exco PSM yang dijangka diadakan selepas mengetahui hasil ujian (swab test) pegawai berkenaan.

Susulan penundaan berkenaan, pengurusan PSM turut menangguhkan semua pertandingan anjuran PSM seperti STL Youth dan Piala Dato Seri Haji Ahmad Ismail Siri 1/2020 (terbuka/veteran) ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.