Strategi RISDA bantu usahawan

in Berita by

SEREMBAN – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bercadang mewujudkan pusat sehenti untuk membantu memasarkan produk pengusaha dan usahawan RISDA di seluruh Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Sharif berkata, satu jawatan khas akan diwujudkan bagi membincangkan perkara tersebut terutama untuk memastikan produk di bawah RISDA dapat terus dipasarkan meskipun berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Menerusi Syarikat Milikan RISDA (SMR), kita akan bantu memasarkan produk kita dengan buat pasaran bersama atau pusat sehenti, misalnya seperti konsep perniagaan dalam talian Lazada. Kita akan perhalusi.

“Kita hendak pusatkan semua produk kita dan dipasarkan di semua Syarikat Milikan RISDA di seluruh negara. Saya percaya produk keluaran RISDA tiada masalah dari segi pasaran,” katanya kepada Sinar Harian selepas melakukan lawatan projek usahawan RISDA Negeri Sembilan dekat Labu di sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.

Sementara itu, Mohd Salim berkata, generasi kedua pekebun kecil diharap tidak mengharapkan bekerja di bandar semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka digalakkan menceburi bidang pertanian atau perniagaan di kampung, sekali gus mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung.

“Salah satu matlamat RISDA adalah meningkatkan produktiviti anak pekebun kecil yang berada di kampung. Kalau boleh kita mahu mereka terus berada di kampung sebaik sahaja tamat pendidikan dan usahakan apa saja yang ada di kampung.

“Kita tidak mahu mereka pergi ke bandar dan kemudian apabila berlaku kejadian seperti Covid-19, mereka hilang pekerjaan yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas,” kata beliau.

Pengusaha cendol sagu rumbia terbuka hati terima bantuan RISDA

Apabila sebut sahaja cendol, pastinya ia menjadi pencuci mulut yang dicari ramai terutama ketika cuaca panas.

Cendol biasanya dibuat daripada tepung beras dan tepung jagung, namun ramai yang jarang mendengar mengenai cendol sagu rumbia yang dibuat daripada tepung sagu.

Berbanding kebiasaan, cendol sagu rumbia lebih enak kerana mempunyak tekstur yang lebih kenyal, selain aromanya yang memikat.

Jika di Negeri Sembilan, ia boleh didapati di kedai milik Rohaisham Mohd Tahar, 53, di Kampung Lambar, Batu 11 Jalan Labu di sini. Beliau telah menjalankan perniagaan cendol sejak 21 tahun lalu.

“Saya mula berniaga cendol dengan membuka gerai sahaja, itu pun pada bulan Ramadan tetapi melihat sambutan yang agak luar biasa, saya buka kedai tetap pada tahun 2014.

“Pada masa yang sama, saya dapat tawa-ran bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Mulanya saya ragu-ragu kerana beranggapan RISDA hanya sediakan bantuan untuk pertanian,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Rohaisham berkata, beliau pada mulanya menolak bantuan tersebut tetapi apabila diberi penerangan mengenai kebaikan menjadi usahawan di bawah RISDA, beliau terbuka hati untuk mencuba.

Menurutnya, bantuan geran yang diterima daripada RISDA setakat ini berjumlah keseluruhan RM25,000.

“Saya buat bisnes daripada kosong. Semuanya dengan modal sendiri tetapi RISDA banyak membantu daripada bantuan geran, peralatan sehinggalah promosi.

“Jika dahulu sehari hasil jualan saya hanya RM40 tetapi sekarang untuk tempoh tiga hari, saya mampu dapat sebanyak RM7,000 sehingga RM8,000,” katanya.

Menurut bekas anggota tentera itu, bantuan yang diterima daripada RISDA telah memberinya semangat untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan.

Malah, beliau mengakui perniagaannya bertambah maju selepas menerima bantuan RISDA.

“Cendol sagu rumbia tak banyak dijual. Saya buat semuanya sendiri dengan mencari pokok sagu rumbia di sekitar kampung dan menebangnya untuk dapatkan sagu.

“Prosesnya agak rumit tetapi itulah kelainan cendol sagu rumbia dengan cendol biasa. Pihak RISDA jugalah yang bantu memperkenalkan cendol sagu rumbia ini,”katanya.

Kata Rohaisham, selain cendol, beliau kini menyediakan ruang menjual produk industri kecil sederhana (IKS) usahawan lain sebagai tarikan kepada pelanggan dan pada masa yang sama dapat membantu mereka.

“Sekarang saya mempunyai enam orang pekerja untuk menguruskan kedai. Jika saya seorang memang tak menang tangan dibuatnya,” kata beliau.