Tindakan tegas menanti penyebar berita palsu: MCMC

in Khas by

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran kepada orang awam supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai 13 menteri Kabinet dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) seperti mana tular di media sosial.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, tindakan tegas boleh diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“MCMC mengambil maklum berhubung penyebaran berita palsu yang tular di media sosial beberapa hari lalu yang mendakwa seramai 13 menteri Kabinet telah dijangkiti Covid-19.

“Perkara tersebut telah pun dinafikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar hariannya selain penafian yang diterbitkan dalam portal Sebenarnya.my.

“Pihak MCMC memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyebarkan berita yang palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau berita yang diragui kesahihannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, orang awam yang mempunyai keraguan terhadap sesuatu berita boleh menyemak kesahihannya dengan melayari portal Sebenarnya.my atau pautan Telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy.

“Maklumat mengenai penularan berita palsu turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my,” katanya.