Waspada sindiket menyamar kenalan sebelum minta wang

in Berita by

KUALA TERENGGANU – Polis meminta orang ramai berhati-hati agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan yang kini menggunakan modus operandi menyamar sebagai kenalan sebelum meyakinkan mangsa untuk meminjam sejumlah wang.

Biasanya suspek menggunakan gambar profil rakan dikenali mangsa dan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp atau Facebook menggunakan nombor tidak dikenali.

Suspek akan menghantar mesej meyakinkan mangsa yang dia adalah kenalan kononnya dalam kesusahan dan memerlukan bantuan untuk meminjam sejumlah wang dengan pelbagai alasan.

Biasanya alasan diberikan hendak membayar kos baiki kenderaan rosak atau tidak dapat akses ke sistem perbankan internet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, modus operandi itu sebenarnya sudah lama wujud tetapi kini muncul semula selepas menerima beberapa aduan daripada mangsa sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati biasanya sindiket menggunakan gambar-gambar rakan mangsa yang ‘dicuri’ di dalam laman sosial milik mangsa itu sendiri.

“Disebabkan itulah kami selalu menekankan kepada orang ramai agar jangan terlalu mendedahkan apa jua aktiviti atau identiti diri dan orang di sekeliling kita di dalam laman sosial.

“Dengan tindakan kita yang gemar memuat naik gambar-gambar peribadi atau apa jua aktiviti harian di dalam media sosial memudahkan lagi identiti kita disalah guna penjenayah hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

M Zambri berkata, orang ramai dinasihatkan agar mengikuti beberapa langkah yang boleh membantu menangani ‘scammer’ ini seperti terus menghubungi kenalan bagi memastikan jika dia benar-benar perlukan bantuan sejurus menerima mesej daripada nombor tidak diketahui walaupun menggunakan gambar profil kenalan dikenali.

“Selain itu, sebelum menyerahkan wang, ajak kenalan kita itu berurusan secara bersemuka. Jangan sesekali melakukan pemindahan ke atas mana-mana akaun yang tidak dikenali atau pihak ketiga.

“Langkah terbaik laporkan perkara tersebut di mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan bantuan,” katanya.