Terengganu lancar program Mencari Safawi 2.0

in Berita by

JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengambil inisiatif mewujudkan program Mencari Safawi 2.0 bagi memastikan adanya pelapis dalam bidang bola sepak.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu diinspirasikan menerusi kejayaan bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid, yang kini mencipta nama di persada antarabangsa yang juga merupakan anak kelahiran Dungun, Terengganu.

Beliau berkata, untuk permulaan seramai 20 bakat baharu yang berusia 12 tahun akan dipilih untuk mengisi projek perintis, yang bakal bermula pada tahun hadapan.

“Kita sedang bekerjasama dengan sekolah di seluruh negeri untuk pencarian bakat baharu, yang boleh digilap dan diketengahkan ke tahap lebih tinggi seperti Safawi Rasid.

“Mereka akan ditempatkan di Sekolah Sukan Negeri Terengganu Bukit Nenas dan dilatih mengikut modul khas yang lebih kemas dan mantap, bagi melahirkan bakat yang jauh lebih hebat berbanding yang kita ada pada hari ini,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Mencari Safawi Rasid 2.0 di Sekolah Sukan Negeri Terengganu Bukit Nenas, Setiu hari ini.

Tambah Wan Sukairi, dengan kerjasama kukuh dari pelbagai pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), beliau yakin program tersebut mampu mencapai objektif utamanya bagi melahirkan pemain bola sepak yang akan mengharumkan nama negeri serta negara di peringkat antarabangsa. – Bernama