Kes buang bayi: Polis siasatan rakaman CCTV

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

MELAKA – Polis masih menjalankan siasatan berhubung penemuan seorang bayi lelaki di kawasan semak di Jalan Sidang Hassan di sini semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, sepasukan penyiasat dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan soal siasat bersama penduduk kampung berdekatan.

Menurutnya, ia termasuk mengumpul segala maklumat seperti soal siasat serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran.

“Maklumat yang diterima setakat ini agak terhad dan kejadian berlaku di sebuah kawasan tanah lapang yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan penempatan.

“Siasatan juga mendapati lokasi kejadian agak jauh dari kawasan penduduk dan bangunan, namun kita terus mempergiatkan siasatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sinar Harian semalam menyiarkan bayi lelaki yang dipercayai dibuang dalam keadaan dihurung semut dan masih berdarah ditemui oleh seorang wanita di kawasan semak berkenaan.

Wanita berkenaan, Yuszida Hashim, 40, berkata, bayi yang masih bertali pusat ditemui sekumpulan kanak-kanak berbasikal di kawasan berhampiran semak terbabit sebelum dia kebetulan melalui jalan itu dengan menunggang motosikal kira-kira jam 3 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi dihurungi semut ada kesan darah