Ringgit ditutup tinggi disokong sentimen luaran yang positif

in Bisnes by

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disokong oleh sentimen luaran yang positif setelah mengalami turun naik tidak menentu sejak tiga lepas, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1480/1530 berbanding dolar AS daripada 4.1650/1710 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata, perkembangan terkini pilihan raya presiden AS dijangka positif bagi Malaysia, memandangkan potensi kemenangan calon dari Demokratik, Joe Biden akan meredakan perang perdagangan AS-China daripada memuncak.

“Selain itu, saya yakin ringgit berbanding dolar AS juga dipengaruhi oleh perhatian kepada Belanjawan 2021 memandangkan pasaran memantau langkah kerajaan dari sudut laporan terbaru penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Ringgit boleh mencatatkan prestasi lebih baik sekiranya tiada kebimbangan mengenai belanjawan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0626/0672 daripada 3.0502/0559 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4115/4197 daripada 5.4024/4110.

Ringgit juga lemah berbanding euro kepada 4.8926/8989 daripada 4.8626/8701 ketika ditutup pada Rabu dan turun berbanding yen kepada 3.9789/9841 daripada 3.9704/9769. – Bernama