AmBank bantu PKS kuasai digital

in Bisnes by

AMBANK Group (Ambank) membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguasai digitalisasi dan memastikan mereka memanfaatkannya dalam memacu pertumbuhan perniagaan masing-masing melalui program Ambank BizRACE Musim Ketiga yang dilancarkan Julai lalu.

Pengarah Urusan Perniagaan Perbankan Ambank, Christopher Yap berkata, program Ambank BizRACE Musim Ketiga itu memberikan pengetahuan, publisiti dan peluang rangkaian kepada PKS dalam tiga bidang yang akan difokuskan iaitu Revolusi Industri Keempat (IR4.0), digitalisasi serta sektor halal.

Menurutnya, ketiga-tiga trek itu akan memberi perkembangan kepada peserta dan panduan untuk memohon pelbagai geran serta sijil kerajaan yang tersedia untuk PKS hari ini.

“Program ini membantu PKS meningkatkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan pengetahuan, latihan, penjenamaan serta peluang rangkaian yang disediakan,” katanya pada sesi webinar Webinar AmBank BizRace Musim Ketiga-Top 100 Digitalisation Track Session semalam.

Turut serta dalam sesi webinar itu ialah Pengarah Perniagaan Kecil, Sederhana dan Korporat Microsoft Malaysia, Azizah Ali; Ketua Pembangunan PKS Maxis, Gerald Lee Swee Kiat dan wakil Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Lo Chang Foh.

Beliau berkata, PKS yang mengambil bahagian dalam pertandingan perniagaan itu belajar menerokai transformasi perniagaan mereka.

“Selain panduan untuk permohonan geran dan pensijilan halal, pertandingan Ambank BizRACE Musim Ketiga yang berlangsung dari September 2020 hingga Mac 2021 itu turut menawarkan hadiah yang bernilai sehingga RM2 juta merangkumi program latihan pembangunan eksklusif serta pendedahan media.

“Penularan wabak Covid-19 telah memberikan kesan dan menyaksikan peralihan trend pengguna sekali gus mendorong perniagaan untuk meneroka strategi baharu daripada cara perniagaan tradisional kepada tradisional,” katanya.

Sementara itu, Azizah berkata, PKS sebagai pemacu pembangunan ekonomi negara perlu menguasai digitalisasi untuk meningkatkan keupayaan perniagaan mereka dan diperluaskan ke peringkat antarabangsa.

Ambank BizRACE dijayakan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), MDEC dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).