Gangguan air di Seremban, Port Dickson dijangka pulih esok

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

SEREMBAN – Penduduk di sebahagian kawasan Port Dickson dan Seremban yang berdepan masalah air dijangka akan menerima bekalan seperti biasa semula pada hari esok jika kerja-kerja pembaikan runtuhan tebing Sungai Linggi berjalan lancar.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, proses pembaikan yang dilakukan sudah menampakkan perkembangan baik hari ini meskipun telah berlaku kegagalan terhadap struktur yang sedang dibaik pulih malam semalam.

“Semalam kita telah cuba sedaya upaya dan saya ucapkan terima kasih walaupun kemungkinan ada sedikit kesilapan apabila tembok itu belum kuat lagi, tapi kita telah cuba untuk menutupnya.

“Jadi, malam semalam kita telah buat pengubah suaian dan nampak perkembangan yang baik. Harapnya pada jam 7 ke 8 malam ini sudah boleh kuatkan tebing dan pengubah suaian dilakukan dapat atasi masalah berlaku,” katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya hari ini.

Aminuddin berkata, pihak yang terlibat dan kontraktor bertanggungjawab tidak berhenti bekerja untuk memastikan kerja pembaikan dapat disiapkan segera sekaligus memastikan penduduk terjejas dapat bekalan air semula.

Beliau juga meminta penduduk diharap bersabar dan penghantaran bekalan air bersih akan diberi keutamaan kepada kawasan terlibat PKPB.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 45,067 akaun pengguna Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) melibatkan sebahagian kawasan Port Dickson dan Seremban berdepan gangguan bekalan air berikutan gangguan terhadap operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, ia berikutan runtuhan tebing Sungai Linggi pada Selasa lalu yang mengakibatkan gangguan kepada operasi LRA Sungai Linggi.