JA ASSURE lantik Dr Kasturi terajui Doctor Shield

in Bisnes by

JA ASSURE mengumumkan pelantikan Dr Kasturi Maniam yang cukup dikenali dalam kalangan masyarakat setempat untuk menerajui Doctor Shield yang berpengalaman dalam pengurusan insurans indemniti profesional untuk bidang perubatan.

Memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan bahagian Doctor Shield, Dr Kasturi akan menjadikan Doctor Shield sebagai peneraju utama kepada semua profesional perubatan di seluruh Malaysia bagi mewujudkan dan memperbaharui insurans indemniti perubatan tahunan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Doctor Shield JA ASSURE, Japhire Gopi berkata, Doctor Shield mencipta pelbagai kejayaan tahun lalu menerusi pendekatan JA ASSURE yang mengetepikan kaedah tradisional bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada industri.

Menurutnya, Doctor Shield menawarkan proses mudah yang mana doktor boleh memilih dan mendapatkan perlindungan insurans mereka hanya secara dalam talian.

“Usaha ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat perubatan apabila menyedari bahawa mereka tidak perlu melalui proses yang menyulitkan dan tidak mengambil tempoh yang lama.

“Mereka dapat menggunakan masa yang berharga itu untuk merawat pesakit dengan lebih baik terutamanya pada waktu yang tidak diduga terutamanya ketika pandemik melanda dunia sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai pelantikan Dr Kasturi, beliau berkata, wanita itu berpengalaman luas dalam bidang perubatan selain disenangi pesakit dan rakan perubatan.

“Beliau begitu menyerlah dari segi pengurusan perubatan, setelah memegang jawatan sebagai Ketua Indemniti di AON,” katanya.

Japhire berkata, JA ASSURE komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik mudah diakses, disediakan secara komprehensif dan pada harga yang kompetitif.

“Dr Kasturi merupakan individu terbaik memimpin bahagian ini. Beliau tidak sekadar memahami realiti perniagaan, bahkan memiliki pemahaman mendalam dalam dunia kedoktoran dan profesional perubatan.

“Kami percaya pengumuman ini merupakan satu lagi contoh pendekatan inovatif kami terhadap insurans indemniti, yang mana kami berusaha menawarkan perlindungan sebenar kepada pelanggan doktor kami,” katanya.

Doctor Shield dilancarkan pada Jun 2019 namun sejak itu ia menarik perhatian golongan profesional perubatan menerusi hebahan mulut ke mulut.

Ia berkembang dengan pesat dan jumlah golongan doktor yang mendapatkan perkhidmatan Doctor Shield turut meningkat menerusi ganti rugi serta indemniti profesional yang dijamin oleh Chubb Insurance, pemain global dalam industri insurans.