UniSZA sedia tuisyen percuma untuk pelajar B40

in Edisi Terengganu by

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkenalkan program tuisyen percuma kepada pelajar daripada keluarga B40, sebagai salah satu sumbangan khidmat sosial universiti itu kepada komuniti.

Program yang dinamakan 3T (Teens Tuition Teens) itu dijayakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri Ladang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr Mohd Afandi Salleh berkata, program 3T itu memfokuskan kepada pelajar sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu.

“Buat permulaan, seramai 40 pelajar dari keluarga B40 dipilih menyertai program ini. Program ini akan diadakan selama dua tahun bermula pada 2 November 2020 sehingga 22 Disember 2022 bertempat di Bilik Kuliah, Kampus Perubatan.

“Antara objektif utama program adalah untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA iaitu menjadikan UniSZA sebagai Hero Komuniti yang mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat khususnya di daerah sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Jelasnya, buat masa ini, UniSZA memfokuskan kepada pelajar-pelajar yang menetap di Flat DUN Ladang terlebih dahulu.

Program itu katanya, telah bermula dengan penyertaan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, SMK Seri Budiman, SMK Padang Negara dan SMK Chendering.

Selain itu, seramai 20 fasilitator terdiri daripada pelajar Asasi (PUSPA) dan pelajar Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) telah diambil sebagai tenaga pengajar sepanjang program berlangsung.

“Sebanyak enam mata pelajaran yang akan diajar iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Akaun pada tahun ini dan tahun 2021 pula kami rancang untuk kembangkan kepada pelajar daerah Kuala Terengganu seramai 120 orang dan akan melibatkan 10 mata pelajaran.

“Dua aliran utama bagi program ini ialah Sains dan Perniagaan yang melibatkan subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Perakaunan,” katanya.