‘Jangan provokasi gajah liar lintas jalan’

in Edisi Johor by

KLUANG – Kira-kira 50 ekor gajah liar yang dipercayai daripada kumpulan di Taman Negara Endau-Rompin disahkan melintasi Jalan Kluang – Mersing pada 4 November lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, kumpulan gajah liar berkenaan keluar dari Ladang Pak Loh dan dipercayai masih berada di sekitar Ladang Projek Pertanian Moden Kluang, Batu 16.

Menurutnya, pihaknya sudah menerima mengenai laporan kejadian itu dan masih menjalankan pemantauan bagi memastikan kumpulan gajah berkenaan tidak diganggu.

“Kawasan terbabit merupakan laluan untuk ke daerah Kluang dan Mersing. Diharapkan pemandu tidak buat provokasi sewaktu bertemu dengan gajah yang melintas.

“Tindakan ini boleh mengundang risiko dengan kejadian tidak diingini boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Salman berkata, penduduk kampung yang menyaksikan kumpulan gajah berkenaan di kawasan penempatan mereka dikehendaki membuat laporan kepada Perhilitan.

Sejak semalam, video berdurasi sembilan saat itu tular di media sosial dengan pelbagai komen termasuk menggesa Perhilitan mengambil tindakan melindungi haiwan berkenaan.