Lelaki ditemui leher hampir putus

in Edisi Kelantan by

PASIR PUTEH – Seorang lelaki disyaki warga Myanmar ditemui berlumuran darah dan cedera parah dengan keadaan leher hampir putus dalam satu kejadian di sini malam tadi.

Kejadian itu kemudian tular rentetan orang ramai berkongsi satu rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dengan leher hampir putus menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Azmir Damiri mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kita terima maklumat berhubung kejadian pada jam 7.30 malam selepas dimaklumkan pihak Hospital Tengku Anis (HTA).

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya kepada media di sini hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, polis masih belum dapat mengesahkan punca kecederaan mangsa.

“Selepas menerima aduan, polis ke wad kecemasan hospital untuk menyoal siasat mangsa, namun urusan soal siasat akan disambung memandangkan ketika ini keadaan mangsa (kecederaan) agak parah di leher dan tidak boleh bercakap.

“Cuma pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan dipercayai warga Myanmar,” katanya.