Enam gagal daftar masuk di pusat snuker dikompaun

in Edisi Pahang by

KUALA LIPIS – Enam individu dikenakan kompaun kerana gagal mendaftarkan maklumat diri mereka ketika memasuki sebuah pusat snuker di Kompleks Alamanda di sini kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kesemua mereka berusia 27 hingga 59 tahun itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2020.

“Mereka dikesan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kompaun dikeluarkan kepada kesemua mereka kerana gagal mendaftarkan masuk ketika berada di dalam premis perniagaan yang diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azli sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan semasa masuk ke dalam premis awam.

Menurutnya, polis akan terus mempergiatkan pemantauan bagi memastikan masyarakat di daerah ini mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan dalam mencegah penularan wabak koronovirus (Covid-19).