Pok Awang mati sebelum pertandingan

in Edisi Kelantan by

PASIR PUTEH – Seorang pemuda terpaksa membatalkan hasratnya untuk menyertai pertandingan lembu sado apabila haiwan peliharaannya itu mati secara mengejut di kandang miliknya di Kampung Permatang Sungkai di sini semalam.

Lembu dari baka Limousin yang diberi gelaran Pok Awang seberat 850 kilogram dan bernilai RM15,000 itu ditemui mati pada jam 1 tengah hari.

Pemiliknya, Haziq Aklan Zanudin, 27, berkata, beliau mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada rakannya.

Haziq berkata, sejurus menerima perkhabaran itu beliau terus bergegas ke kandang untuk melihat keadaan Pok Awang.

“Sampai ke kandang, saya dapati Pok Awang sudah mati. Saya memang beri penjagaan rapi terhadap Pok Awang kerana saya menyimpan impian untuk membawanya menyertai pertandingan lembu sado tahun ini.

“Namun disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19) saya terpaksa menunggu peluang pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, beliau reda dan menganggap kehilangan Pok Awang yang dibela selama 22 bulan 27 hari itu sebagai ujian daripada ALLAH SWT.

“Tipulah kalau saya tidak sedih dengan kehilangan Pok Awang, namun saya perlu menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Haziq berkata, sebelum kejadian dia sempat memberi makan kepada Pok Awang dan haiwan kesayangannya itu tampak berselera dan ceria.

Katanya, bangkai Pok Awang akan ditanam pada hari ini.

“Saya juga akan memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mendapatkan pengesahan sebenar kematian Pok Awang,” katanya.