Pencuri tabung masjid dicekup

in Edisi Utara by

KEPALA BATAS- Polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dipercayai terlibat dengan 10 kes curi duit tabung masjid di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu ditangkap di sebuah rumah di Taman Haji Mohd Amin, Permatang Pauh awal pagi tadi.

Menurutnya, tangkapan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) hasil siasatan dan risikan yang dibuat mengenai kegiatan jenayah lelaki terbabit.

“Pada Jumaat lalu polis menerima laporan daripada Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Pongsu Seribu mengenai perbuatan seorang lelaki yang mencuri duit tabung dengan cara mengait duit di dalamnya.

“Perkara itu disedari mereka selepas menemui kesan binding tape yang dibuang ketika membersihkan masjid dan mereka syak ia digunakan untuk mencuri duit tabung seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Curiga dengan penemuan itu, ahli jawatankuasa masjid terbabit membuat semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal masuk ke dalam ruang solat Muslimin sebelum mengait duit di dalam dua tabung yang terletak di kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV polis berjaya mengesan identiti suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki.

“Dalam serbuan jam 12.15 malam tadi, kita turut merampas motosikal dan topi keledar yang digunakan oleh suspek ketika melakukan jenayah berkenaan selain sebatang besi yang dipercayai digunakan untuk mengait duit tabung.

“Suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.