350,000 benih udang galah dilepaskan di Sungai Muar

in Edisi Johor by

MUAR – Jabatan Perikanan Negeri Johor sudah melepaskan 350,000 benih udang galah bernilai RM100,000 di Sungai Muar pada tahun ini.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan hidupan udang galah di Sungai Muar bertambah, terus kekal dan tidak mengalami kepupusan.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan menerusi Program Pelepasan Benih Udang Galah Bersasar Negeri Johor yang sentiasa mendapat permintaan nelayan darat dan persatuan pemancing di Sungai Muar.

“Permintaan berterusan itu adalah untuk manfaat ekonomi ataupun aktiviti rekreasi. Setakat ini benih udang galah sudah dilepaskan ke dalam Sungai Muar menerusi beberapa pangkalan nelayan di daerah ini.

“Antaranya di Pangkalan Nelayan Jorak, Pangkalan Nelayan Grisek, Pangkalan Nelayan Kampung Renchong, Pangkalan Nelayan Kampung Lenga dan Pangkalan Nelayan Bukit Kepong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Pelepasan Benih Udang Bersasar 2020 Peringkat Negeri Johor di Pangkalan Nelayan Kampung Renchong, Pagoh di sini semalam.

Noraishah berkata, apabila bekalan udang termasuk ikan meningkat, pendapatan nelayan setempat akan turut bertambah.

Menurutnya, Sungai Muar merupakan sungai yang terkenal dengan udang galah berkualiti tinggi dan rasanya manis.

“Harga udang galah dari Sungai Muar juga lebih tinggi berbanding kawasan lain bermula RM80 hingga RM100 setiap kilogram mengikut saiz,” katanya.

Beliau berkata, udang galah dewasa akan dapat bertelur dan dibiakkan pengusaha pembenihan sebelum benihnya dijual kepada pengusaha akuakultur.

Katanya, proses itu secara tidak langsung akan dapat meningkatkan pengeluaran akuakultur di Johor dan negara ini pada masa akan datang.