Air naik mendadak, bomba selamatkan 10 mangsa banjir

in Edisi Perak by

LARUT – Tindakan pantas anggota bomba menyelamatkan 10 penduduk termasuk tiga kanak-kanak berikutan rumah mereka dinaiki air mencecah dua meter dalam kejadian banjir kilat di Ijok di sini petang tadi.

Kesemua mereka membabitkan empat keluarga masing-masing dari tiga kampung berhampiran selamat dipindahkan ke kawasan lebih tinggi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 5.08 petang.

Menurutnya, tiga kampung yang terlibat ialah Kampung Pantai Besar, Kampung Sungai Ara dan Kampung Jemerang Star.

“Komander operasi memaklumkan keadaan air semakin naik dan kedalaman mencecah hampir dua meter.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau yang digerakkan ke lokasi berjaya memindahkan 10 mangsa dari empat rumah di situ ke tempat lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan sama, setakat ini belum ada pusat pemindahan dibuka dan keselamatan semua mangsa terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan itu dipantau sehingga air surut.

“Operasi menyelamat masih dijalankan di lokasi banjir,” katanya.