Campur cecair pembasmi kuman dengan air

in Edisi Kelantan by

PASIR PUTEH – Polis Kelantan kesal tindakan peniaga dan pemilik premis di negeri ini yang dikesan menggunakan cecair pembasmi kuman dicampur dengan air.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pemilik premis turut dikesan menyediakan alat pengimbas suhu dengan tidak meletakkan bateri selain menggunakan peralatan yang tidak gagal berfungsi.

“Polis akan terus mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis jika dikesan berbuat demikian. Kita harap pemilik premis dapat mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan

“Sepanjang April hingga semalam, sebanyak 1,244 kompaun membabitkan pelanggaran SOP,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di sempadan Kelantan dan Terengganu di Kampung Pachakan, Semerak di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Azmir Damiri.

Sementara itu, menurutnya, semua ‘laluan tikus’ di sempadan Kelantan dan Terengganu berada di bawah pemantauan polis.

“Pemantauan rapi akan dilakukan bagi memastikan tiada ‘kebocoran’ berlaku melibatkan aktiviti rentas negeri.

“Untuk operasi kali ini, kita menjalinkan kerjasama dengan polis Terengganu bagi memastikan kawalan di sempadan kedua-dua negeri terus diperketatkan,” katanya.