Perincian pengeluaran akaun satu KWSP diumum dalam masa terdekat

in Belanjawan 2021 by

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperhalusi serta memperincikan kemudahan bagi tujuan pengeluaran akaun satu seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sempena Belanjawan 2021 pada minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan dengan semua perkara berkaitan selesai.

Beliau berkata, keputusan tersebut bukan disebabkan oleh tekanan politik daripada mana-mana pihak, sebaliknya mengambil kira keperluan ahli dalam menangani kesan Covid-19 serta masa hadapan mereka.

“Sekarang kita dalam perbincangan dengan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran daripada akaun satu iaitu pengeluaran masa hadapan ahli kita. Kita hendak memastikan ahli membuat keputusan yang baik dan tidak menggadaikan masa depan kerana terburu-buru.

“Bukan kita kata jangan keluarkan tetapi keluarkan dengan cara membuat keputusan mengimbangi semua isu-isu. Ia keputusan yang rasional,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat KWSP di sini hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada akaun satu secara bersasar sebanyak RM500 setiap bulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan untuk meringankan beban seramai kira-kira 600,000 ahli yang dibuang kerja.

Mengulas lanjut, Tunku Alizakri berkata, pihaknya memikul beban yang berat untuk melihat situasi semasa dan memainkan peranan bagi memastikan semua ahli mempunyai wang pada masa depan iaitu selepas hari persaraan.

“Jumlah mereka yang hilang pekerjaan ketika ini ialah sekitar 700,000 dan ini hanyalah jumlah individu. Sebenarnya jumlahnya lebih besar jika mengambil kira tanggungan mereka seperti isteri, anak-anak dan mungkin ibu bapa yang ditanggung.

“KWSP pada Mac lalu membuat anggaran seramai 2.5 juta orang kehilangan pekerjaan. Pada ketika itu nasib baik kerajaan cepat bertindak dan kita sendiri mengambil langkah pantas seperti pengeluaran akaun dua KWSP iaitu i-Lestari,” katanya.

Jelasnya, keputusan pantas daripada KWSP membenarkan pengeluaran akaun dua itu dibuat dengan mengambil kira kesan daripada anggaran seramai 2.5 juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan.

“Pada masa itu kita memikirkan bagaimana cara KWSP boleh memainkan peranan untuk membantu ahli yang terkesan dan kita benarkan pengeluaran daripada akaun dua. Skim i-Lestari ini memanfaatkan kira-kira 4.7 juta ahli dengan jumlah sebanyak RM11.6 bilion,” katanya.

Menurutnya, beliau sangat memahami keadaan dan gangguan emosi yang dirasai rakyat Malaysia kesan daripada penularan Covid-19.

“Pada masa itu bahaya untuk kita membuat keputusan kerana ia mengikut emosi. Sebab itu kita perlu rasional dalam membuat keputusan. Ini masa kita perlu bertenang dan renungkan semula memikirkan keadaan semasa kita dan akan datang,” katanya.

Ketika ditanya adakah KWSP akan meneruskan Skim i-Lestari bagi fasa kedua, Tunku Alizakri berkata, ia tidak akan diteruskan sebaliknya skim pengeluaran akaun satu secara bersasar seperti diumumkan kerajaan akan dilaksanakan.