Sabah ganda usaha pacu pembangunan negeri

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan terus berusaha meningkatkan pembangunan dengan menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, urusan pentadbiran dan ekonomi negeri kekal berfungsi walaupun sudah mengubah cara hidup dan perlu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebagainya.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk memberi perhatian terhadap sektor kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan, menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkatkan tahap keselamatan negeri.

“Dalam usaha untuk memastikan pembangunan semula ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, kerajaan negeri akan menggandakan usaha untuk memacu dan membangunkan negeri ini khususnya dalam pelaksanaan projek yang berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor.

“Projek yang berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo, Pembesaran Sepanggar Bay Container Port, Upper Padas Hydro Power, Jalan Kalabakan – Serudong-Semanggaris dan lain-lain akan terus dilaksanakan,” katanya dalam ucapan sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) yang ke-16 di sini hari ini.

Tambahnya, keutamaan akan diberikan dalam sektor pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar selain penekanan kepada dasar jaminan bekalan makanan serta keselamatan makanan.

Selain itu, menurutnya, tumpuan turut membabitkan kepada pengeluaran geran tanah kepada rakyat Sabah khasnya golongan anak negeri di kawasan luar bandar.

“Pada tahun 2021, kerajaan negeri menyasarkan pengeluaran sebanyak 7,500 geran tanah anak negeri (Native Title) dengan jumlah keluasan tanah 15,000 hektar melalui Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri (Pantas),” katanya.

Tambah Juhar lagi, kerajaan negeri akan meneruskan pembangunan perumahan melalui Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Sabah kepada golongan sasar.

“Ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan sektor perumahan terus berdaya huni, teratur dan dapat dinikmati oleh semua kumpulan sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Menyentuh berhubung sektor pelancongan pula katanya, pada tahun ini sektor berkenaan terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

“Penutupan pintu sempadan negara serta pembatalan penerbangan terus antarabangsa ke Sabah telah memberi kesan yang amat besar kepada sektor pelancongan.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mengembalikan momentum pembangunan sektor pelancongan dengan merangka pelan dan program pemulihan yang holistik, untuk diimplementasi sebaik bumi Sabah bebas dari pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam masa yang sama, Juhar dalam ucapan turut berkata, kerajaan negeri telah mengenakan Cukai Jualan Negeri terhadap produk petroleum sebagai sumber kutipan hasil negeri yang baharu dan memastikan syarikat minyak yang beroperasi membuat pembayaran cukai dengan teratur.

Terdahulu, Juhar turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baharu dibentuk di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

“Saya yakin dan percaya bahawa kerajaan yang baharu ini berupaya membawa Sabah kembali ke mercu kejayaan dan kecemerlangan, memandangkan ramai anggota pentadbiran merupakan mereka yang berpengalaman,” katanya.

Melalui ucapan sama, beliau mahu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berdedikasi.

Juhar dalam pada itu turut berharap, hubungan akrab dan kerjasama yang padu antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara dan dipertingkatkan.