Mayat warga Myanmar ditemui terapung

in Edisi Selangor KL by

SABAK BERNAM – Mayat seorang lelaki dipercayai warga Myanmar ditemui terapung pada jarak lapan batu nautika dari Pantai Bagan Nakhoda Omar di sini petang semalam.

Lelaki dikenali sebagai Ang, 30, yang bekerja sebagai nelayan dipercayai terjatuh ke dalam laut pada Rabu lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 4.09 petang semalam.

“Operasi khidmat khas mengambil mayat mangsa dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dan Sekinchan serta Polis Marin,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hafisham berkata, mayat mangsa diambil Polis Marin terlebih dahulu dan dibawa ke sebuah kelong untuk diserahkan kepada bomba.

“Sebuah bot penyelamat dari BBP Sekinchan mengambil mayat itu dan kemudian dibawa ke Pantai Bagan Nakhoda Omar untuk diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan menerima laporan penemuan mayat itu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.