Hanya tak setuju syarat ‘pinang Puteri Gunung Ledang’: Ahmad Fadhil

in Belanjawan 2021 by

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari tetap menghormati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun tidak bersetuju dengan pendiriannya yang meletakkan syarat bagi menyokong Belanjawan 2021.

Kata Ahmad Fadhil, belanjawan tersebut perlu diluluskan kerana melibatkan wang untuk rakyat, petugas barisan hadapan, bayaran gaji dan pelbagai peruntukan lain.

Jika tidak diluluskan menurutnya, bermula Januari 2021, semua perbelanjaan akan tergendala.

“Isu-isu kepentingan rakyat yang lain yang tidak tertakluk dalam Bajet 2021 (belanjawan), kita minta berikan peluang kerajaan mengkaji dan umumkan dalam pelbagai pakej yang boleh dibuat selepas ini.

“Dalam hal itu (meletakkan syarat menyokong) sahaja saya tidak bersetuju dan kerana itulah timbulnya contoh syarat puteri dari gunung itu (Puteri Gunung Ledang).

“Saya tidak bermaksud menyindir dan saya menyebutnya dengan penuh hormat. Jika ia mengguris, saya mohon maaf. Tetapi saya cuma bertujuan menyampaikan maksud dengan jelas,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Ujarnya, isu tersebut tidak sepatutnya berlarutan sehingga merugikan kedua-dua parti dan rakyat.

“Ramai yang menurunkan komen di Facebook memberikan respon terhadap ucapan saya di Parlimen beberapa hari lepas. Ada yang setuju dan saya akui, ramai juga yang tidak setuju. Lebih lanjut lagi, ada yang mengheret ia seolah-olah menjadi pertembungan Pas dan UMNO.

“Saya kekal berpendirian, Pas dan UMNO perlu terus duduk bersama, dan sudah pasti, Parti Pribumi Bersatu Malaysia di bawah kepimpinan Tan Sri Perdana Menteri pun tidak boleh diketepikan. Apa juga pertembungan, meja rundingan tempatnya,” katanya.

Najib dalam respons balas terhadap hantaran Ahmad Fadhil itu berkata, beliau tidak pernah ambil hati mengenai perkara tersebut dan mereka berdua tetap berkawan.

Pada Selasa lalu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, Najib selaku Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers (BN) meletakkan dua syarat bagi menyokong Belanjawan 2021.

Katanya, kerajaan perlu meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off dan melanjutkan moratorium bayaran pinjaman hingga Jun 2021.