Kedah teruskan projek berimpak tinggi

in Edisi Utara by

ALOR SETAR – Kedah komited meneruskan pembangunan beberapa projek berimpak tinggi untuk merancakkan pemulihan ekonomi negeri pada pasca pandemik koronavirus (Covid-19) tahun hadapan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara projek berkenaan adalah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.

Menurutnya, ini termasuk pelaksanaan Kedah Aerotropolis, Projek Kota Perdana dan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam serta Projek Pembesaran Zon Industri fasa lima di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“Kerajaan negeri yakin pelaksanaan projek terbabit bakal memberi manfaat menyeluruh kepada ekonomi negeri, sektor perniagaan dan mencetuskan peluang pekerjaan khususnya di daerah berkaitan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kesemua projek itu akan dibiayai peruntukan kerajaan Pusat selain pelaburan pihak swasta.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu mencergaskan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat; mensejahterakan dan menambah baik kualiti hidup masyarakat; membina insan dan melestarikan kehidupan serta memantapkan tadbir urus.

“Kita juga akan meningkatkan pelaksanaan projek prasarana, khususnya bekalan air bersih termasuk atasi masalah tekanan air rendah. Kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama.

“Pelaksanaan projek ini tertangguh susulan masalah teknikal dan kesan pandemik Covid-19, namun telah ditender semula. Dua daripadanya, LRA Jenun Baru dan LRA Lubuk Buntar Lama diputuskan dalam Lembaga Perolehan Negeri, manakala selebihnya akan diputuskan dalam bulan ini,” katanya.

Menurutnya, semua projek terbabit dijangka dimulakan pelaksanaannya awal tahun depan.

“Selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan meluluskan Projek LRA Kubang Pasu dalam Belanjawan 2021, kita akan ambil tindakan proaktif agar projek ini dapat dilaksanakan segera bagi menyokong keperluan pelaburan SBEZ di Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Projek Telaga Tiub di Merbok berkapasiti satu juta liter sehari (mld) juga telah disiapkan.

“Buat masa ini, fasiliti pra-rawatan air bawah tanah bernilai RM1.5 juta sedang dilaksanakan. Pada tahun depan, penduduk di kawasan berkenaan akan menikmati tambahan bekalan air bersih,” katanya.

Tambahnya, beberapa projek pembesaran jalan dijangka siap tahun depan antaranya Jalan Suka Menanti dan Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang.

“Kerajaan negeri juga akan bina jalan baharu dari Jeneri ke Sik Dalam dianggarkan bernilai RM87 juta bagi meningkatkan jaringan perhubungan, projek ini akan ditender pada Mac 2021.

“Sebanyak empat jambatan akan dinaik taraf iaitu Jambatan Sungai Chepir di Batu Lima, Sik; Jambatan Sungai Pendang di Jalan Tanah Merah-Tokai, Pendang; Jambatan Sungai Kura di Jalan Lubuk Merbau, Padang Terap serta Jambatan Sungai Getah di Jalan Sungai Petani-Bukit Selambau, Kuala Muda,” katanya.

Katanya, RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek menaik taraf jalan dan jambatan negeri meliputi menaik taraf sistem perparitan dan menaik taraf pembetung bagi mengatasi masalah banjir.

“RM3.1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja kemudahan jalan seperti pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat.

“Untuk 2021, peruntukan khas sebanyak RM8 juta disediakan untuk menaik taraf prasarana seperti jalan, parit, pembetung, dewan dan gelanggang permainan di kawasan kampung, kampung dalam bandar dan kampung baru. Daripada jumlah itu, RM200,000 diperuntukkan bagi setiap DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya.