Kelantan catat satu kes baharu Covid-19

in Koronavirus by

KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan satu kes baharu koronavirus (Covid-19) hari ini di Mukim Ulu Sat melibatkan kontak rapat kepada kes 203, 209 dan 210.

Perkara tersebut dikongsi Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin melalui laman sosial Facebooknya di sini hari ini.

Perkara sama turut dikongsi di laman sosial Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan sehingga kini tiada kes sembuh dilaporkan.

Jumlah yang sedang dalam rawatan ialah seramai 28 orang termasuk satu kes yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) melibatkan kes 203.

Kelantan juga mencatatkan empat zon kuning iaitu empat kes di Machang, Jeli (enam kes), Kota Bharu (13 kes) dan empat kes di Tanah Merah melibatkan kes tempatan.

Untuk kes import B pula melibatkan jangkitan dari luar Kelantan adalah empat kes iaitu di Pasir Mas termasuk satu kes saringan berisiko dari Selangor.

Pasir Puteh pula mencatatkan satu kes iaitu dari Kluster Cergas, Negeri Sembilan manakala Jeli pula mencatatkan dua kes berkaitan dengan saringan berisiko dari Sabah.

Kluster Kube kekal 17 kes tanpa sebarang jangkitan baharu dilaporkan dan jumlah kes aktif di Kelantan selama tempoh 14 hari ialah 31 kes membabitkan tiga kematian.