Lebih separuh Sabah sudah zon kuning, jingga, hijau

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Lebih separuh daerah di Sabah sudah mula berada dalam zon kuning, jingga dan dua daripadanya kini dikategorikan sebagai zon hijau.

Selain itu, 12 lagi daerah masih dikategorikan sebagai zon merah terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar yang mempunyai penduduk yang padat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hari ini Sabah mencatat sebanyak 381 kes positif baharu Covid-19 membabitkan tiga kematian di Sandakan dan Semporna.

“Kota Kinabalu mencatat sebanyak 95 kes, Tawau (65), Sandakan (51), Semporna (48), Lahad Datu (34), Tuaran (30), Kota Belud (14), Kudat (13) Keningau (11), Putatan (11), Penampang (4) dan Papar (4) dan Kinabatangan (1).

“Kunak bertukar daripada zon jingga kepada zon kuning,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, dua kluster baharu dikenal pasti di Sabah membabitkan pekerja di tapak pembinaan.

“Dua kluster baharu iaitu Kluster Plaza di Kota Kinabalu membabitkan 12 kes pekerja tapak pembinaan The Shore dan Kluster Jalan Kalabakan di Tawau pula mencatatkan 22 kes,” katanya.

Selain itu, Masidi berkata, penempatan di Telipok dan Kampung Numbak di Kota Kinabalu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini sehingga 29 November ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga jam 6 petang dan pasar dibenarkan beroperasi selama dua kali seminggu bermula 6 pagi sehingga 2 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.

“Selain itu, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan untuk keluar daripada kawasan PKPD untuk mengeluarkan duit daripada mesin mesin juruwang automatik (ATM) atau bank dengan kebenaran oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat kawalan di jalan keluar dan masuk utama di kedua-dua lokaliti itu,” katanya.