56 rumah terjejas akibat ribut di Mambau

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

SEREMBAN – Sebanyak 56 buah rumah terjejas akibat ribut melibatkan tiga buah kampung dan sebuah taman perumahan di Mambau di sini pada jam 4.30 petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, jumlah itu adalah berdasarkan laporan yang direkodkan setakat ini.

“Kejadian itu melibatkan 21 buah rumah di Kampung Kayu Ara, 24 buah rumah di Kampung Batu 3, sebuah rumah di Kampung Anak Air Garam dan 10 buah rumah di Taman Bukit Belinda 1.

“Bagaimanapun insiden itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, manakala penduduk yang terjejas tidak berpindah kerana sebahagian rumah masih boleh diduduki,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu kejadian ribut itu dipercayai berlaku lebih kurang tiga minit dan keadaan itu turut mengakibatkan sebatang pokok tumbang mengenai sebuah rumah di Kampung Batu 3, di sini, namun ia tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada penghuninya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Yap Yew Weng berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon merangkap Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan telah ke lokasi kejadian.

“Saya difahamkan hujan lebat sekitar 15 minit namun ribut lebih kurang tiga minit menyebabkan lebih 50 buah rumah terjejas di Mambau.

“Kebanyakan kerosakan adalah di bahagian bumbung rumah dan pokok tumbang selain ada bumbung yang tersangkut pada kabel elektrik.

“Esok (hari ini) Pejabat Daerah dan Tanah Seremban akan mengenal pasti semula jumlah rumah yang terjejas supaya tiada yang tertinggal daripada menerima bantuan baik pulih rumah,” katanya.