EAC bincang usaha pulih ekonomi negara minggu ini

in Nasional by

SHAH ALAM – Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) akan membincangkan tentang usaha-usaha untuk memulihkan semula ekonomi negara pada minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, EAC telah menerima maklum balas daripada beberapa sektor termasuk sektor peruncitan, penjaja, peniaga kecil, pengendali tadika, pengusaha hotel dan restoran, pemandu teksi serta informal mengenai kesan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas perniagaan mereka.

Menurutnya, sekretariat tersebut akan membawa semua maklum balas berkenaan ke dalam mesyuarat EAC untuk dibincangkan.

“Antara cadangan daripada masyarakat perniagaan ini ialah supaya menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) PKPB bagi memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan dan kembali pulih secepat mungkin.

“Kita perlu memperkukuhkan tekad dan lebih kreatif untuk mencari jalan bagi memastikan kehidupan seharian dapat disesuaikan dengan normal baharu agar mampu diteruskan dengan sebaik mungkin serta berusaha melandaikan keluk penularan pandemik ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mustapa berkata, prestasi ekonomi pada suku ketiga tahun 2020 adalah lebih baik dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) menguncup lebih kecil pada kadar 2.7 peratus berbanding dengan -17.1 peratus bagi suku kedua.

“Walau bagaimanapun peningkatan kembali kes koronavirus (Covid-19) di negara ini telah menjejaskan pemulihan ekonomi disebabkan PKPB terpaksa dilaksanakan semula di seluruh negara kecuali di Perlis, Kelantan dan Pahang,” katanya.