Impian miliki rumah tercapai

in Edisi Johor by

KULAI – Impian seorang ibu tunggal di Kampung Sri Paya di sini untuk memiliki kediaman sendiri tercapai selepas menjadi penerima Program Bantuan Rumah (PBR) Daerah Kulai hari ini.

Rohanah Mohd Noh, 50, bersyukur dan tidak sabar untuk menduduki rumah baharu tersebut kerana sebelum ini dia bersama-sama arwah suaminya, Mohd Isa Suratmin tinggal menyewa di kampung berkenaan dalam keadaan yang tidak selesa.

Menurutnya, arwah suaminya meninggal dunia pada tahun 2005 kerana menghidap leukemia.

“Selepas arwah suami meninggal, saya dan anak-anak menumpang di rumah keluarga sebelum kami menyewa di sebuah rumah satu bilik dengan sewa bulanan RM150.

“Walaupun rumah tersebut tidak begitu selesa, tetapi itu sahaja kemampuan ketika itu.

“Syukur Alhamdulillah, impian saya dan anak-anak untuk memiliki rumah yang lebih selesa tercapai hasil bantuan pelbagai pihak yang berusaha memohon rumah ini daripada kerajaan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis Penyerahan Kunci Rumah PBR yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin di kampung tersebut hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulai, Mohd Mackeen Mohd Shafiee; Penghulu Mukim Bukit Batu, Mohamad Norzaharuddin Kasimon dan Ketua Kampung Sri Paya, Zainuddin Daem.

Katanya, selama ini dia dan anak-anaknya, Muhammad Hafiz, 23, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan Muhammad Hanif, 21, tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap.

“Alhamdulillah rumah atas tanah milik bapa saya ini sudah cukup selesa buat kami anak beranak kerana mempunyai tiga bilik dan kalau boleh hari ini juga kami mahu berpindah masuk.

“Selepas ini kami tidak perlu menyewa lagi dan saya boleh membantu Muhammad Hafiz mengembangkan perniagaan barangan baju terpakainya memandangkan isu rumah sudah selesai,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Radzi berkata, rumah PBR berkenaan siap dibina pada 12 Oktober lalu dengan kos sebanyak RM65,000 yang dibiayai Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulai.