Lari tinggal 22,900 bungkus rokok seludup tepi pantai

in Edisi Sabah Sarawak by

TAWAU – Sebanyak 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM288,032 dirampas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam Op Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu, bungkusan mengandungi pelbagai jenis rokok itu ditinggalkan di tepi pantai selepas sebuah bot memecut laju ke laut sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan di kawasan itu.

Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai daripada radar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah mengesan pergerakan bot laju yang mencurigakan dari arah Pulau Sebatik menuju ke tebing laut kampung terbabit.

Katanya, seramai 22 anggota yang terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) yang diketuai oleh ESSCom dikerah ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik tiba, anggota kita telah mengesan sebuah bot yang memecut laju meninggalkan tebing laut berkenaan dan melarikan diri menuju ke arah laut yang gelap.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan terbabit telah menemui beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hijau dipercayai berisi rokok seludup tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan lanjut mendapati antara jenis rokok seludup tidak bercukai yang berjaya dirampas termasuk 9,600 bungkus rokok jenama Primero, 10,200 bungkus rokok jenama Djarum Black dan 3,100 bungkus rokok jenama Surya Menthol Slim.

“Kesemua rokok ini disyaki diseludup untuk pasaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967.

Ahmad Fuad sebelum itu merakamkan penghargaan kepada semua pasukan keselamatan yang terlibat dalam membantu melancarkan operasi OCP Daratan Selatan di daerah ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan semangat kerja berpasukan ESSCom dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terlibat dalam operasi ini yang berjaya mengesan dan sekali gus menggagalkan beberapa percubaan tekong laut membawa masuk barangan seludup seperti rokok, syabu dan barang-barang kawalan yang lain,” katanya.