Lembah Klang rekod kes tertinggi Covid-19

in Koronavirus by

SHAH ALAM – Kuala Lumpur menjadi lokasi tertinggi yang merekodkan kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) di Malaysia semalam dengan mencatatkan 475 kes.

Selain itu, Selangor turut menjadi negeri ketiga tertinggi dengan merekodkan 185 kes baharu wabak itu semalam dengan kesemuanya melibatkan jangkitan tempatan.

Menerusi kemaskini di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), terdapat pertambahan 140 kes discaj turut direkodkan di negeri ini semalam.

“Berdasarkan jumlah itu, daerah yang merekodkan kes baharu adalah melibatkan Hulu Langat (48 kes), Gombak (1 kes), Hulu Selangor (3 kes), Klang (100 kes), Kuala Langat (10 kes), Petaling (19 kes) dan Sepang (4 kes),” katanya.

Kes positif Covid-19 di Malaysia semalam terus mencatatkan angka empat digit dengan 1,208 lagi kes baharu direkodkan selain tiga kematian dicatat dan tiga kluster baharu dikenal pasti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, Selangor dan Wilayah Persekutuan di Lembah Klang menyumbang kes positif tertinggi iaitu 661 kes manakala 381 kes direkodkan di Sabah.