Pelajar Tingkatan Enam maut kemalangan

in Edisi Kelantan by

RANTAU PANJANG – Seorang pelajar Tingkatan Enam maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran simpang masuk ke sebuah pasaraya di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dekat Kampung Banggol Kulim, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10 malam itu mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Baihaqie Abd Ghaffar, 18, pelajar Maahad Muhammadi Rantau Panjang.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan ke sekolah untuk mengikuti pengajian secara dalam talian bersama rakan-rakannya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yahama Y-15 dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas dalam perjalanan ke asrama lelaki Maahad Muhammadi.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun dari arah bertentangan telah masuk ke simpang sebelah kanan pasaraya itu secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, terkejut dengan kejadian itu remaja tersebut tidak sempat mengelak dan terus melanggar kenderaan yang dinaiki oleh lelaki tersebut bersama isteri.

Beliau berkata, kesan perlanggaran itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Mohamad Roy berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut masih lagi diteruskan.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.