PKPD: Lima lagi penduduk Medan 88 serah diri

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – Seramai 32 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah tampil menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof menerusi satu kenyataan berkata, 13 orang menyerah diri pada Khamis lepas, 11 menyerah diri pada Jumaat, tiga pada Sabtu manakala lima lagi menyerah diri semalam.

Beliau berkata, 24 lelaki dan lapan wanita yang menyerah diri itu terdiri daripada 13 warga tempatan, sembilan warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Myanmar, India dan Nepal.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata, sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 324 penduduk Medan 88 sudah pun menjalani ujian calitan dan daripada jumlah itu, empat daripada mereka didapati positif Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 12 November sehingga 25 November ini. – Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD Medan 88: 27 penduduk sudah serah diri

PKPD: 400 penduduk Medan 88, Salak Tinggi gagal dikesan