Polis kesan lelaki bawa syabu, lari sekatan jalan raya

in Edisi Utara by

GEORGETOWN – Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia 26 tahun yang melarikan diri ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Batu Uban di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada mulanya lelaki tersebut didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana membawa tiga penumpang di dalam kereta yang dipandunya.

Menurutnya, susulan daripada itu, polis yang bertugas di sekatan jalan raya tersebut telah menahan kereta dipandunya lalu meminta kesemua mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang remaja perempuan keluar dari kereta untuk proses dokumentasi.

“Kita menahan kereta terbabit kerana dua kesalahan iaitu melanggar SOP PKPB dan pemandu kereta tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Ketika polis sedang mengambil butiran kesemua mereka, lelaki tersebut memberi alasan mahu membuat panggilan telefon.

“Ketika itu, dia didapati menghilangkan diri dan dipercayai telah melarikan diri. Sebelum melarikan diri, lelaki dikenali sebagai S Nadarajan itu telah menyerahkan kad pengenalannya kepada polis di sekatan jalan raya tersebut untuk didokumentasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini semalam.

Soffian berkata, dia didapati melarikan diri ketika polis sedang menunggu bantuan daripada IPDTL untuk membawa kesemua mereka ke balai bagi tujuan kompaun.

“Susulan daripada itu, kita mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lalu membuat pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu lelaki tersebut. Pemeriksaan menjumpai 254 gram syabu bernilai RM25,400 di dalam kotak yang disembunyikan di bahagian tempat duduk penumpang belakang kereta berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek bersama rakan-rakannya dari Perlis dan ke kawasan Seberang Perai untuk mengambil bekalan dadah. Mereka kemudiannya ke bandar ini untuk berjalan-jalan. Mereka ditahan ketika dalam perjalanan pulang semula ke Perlis,” katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut berasal daripada Sungai Petani, Kedah, namun dikenakan perintah buang daerah ke Perlis kerana kesalahan dadah.

“Siasatan awal mendapati kesemua syabu yang dirampas itu akan dibawa balik ke Perlis dan suspek dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah sejak awal Oktober lalu. Dia juga mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Dua lelaki berusia 23 tahun yang ditahan itu juga positif dadah dan mempunyai rekod jenayah. Kita menganggap tindakan kesemua yang ditahan amat berani kerana mengetahui dalam tempoh PKPB, tidak dibenarkan merentas negeri selain berani berhadapan dengan sekatan jalan raya,” katanya.

Katanya, dua lelaki dan remaja perempuan itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.