Tiada keperluan buka pusat kuarantin di MAEPS

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – Tiada keperluan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PRRC) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) meskipun kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di sekitar Lembah Klang semakin meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana kapasiti KKM sedia ada masih mampu menampung pesakit Covid-19.

“Kita akan menggunakan kemudahan KKM dahulu. Kalau terpaksa baru kita buka hospital sementara MAEPS,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya mempunyai 4,200 katil di institut latihan KKM yang boleh menempatkan dua pesakit dalam satu bilik.

“Pusat Kawalan Kusta Negara yang terletak di Sungai Buloh juga turut dijadikan pusat kuarantin individu positif Covid-19.

“Di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kita gunakan blok bersalin yang telah dikosongkan dan Hospital Rehabilitasi Cheras,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pembukaan semula pusat kuarantin di MAEPS berikutan kes di Lembah Klang melonjak pada akhir-akhir ini.

Sebanyak 544 kes positif Covid-19 dikesan di Lembah Klang hari ini mengatasi Sabah yang hanya merekodkan 288 kes.

PRRC MAEPS beroperasi secara rasmi pada 16 April lalu dan ditutup secara rasminya pada 15 Julai selepas pesakit terakhir didiscaj pada 10 Julai.

[LIVE] Sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan

[LIVE] Sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung perkembangan terkini Covid-19 di Malaysia

Posted by Sinar Harian on Monday, November 16, 2020