1,020 sekolah dikategori daif di Sarawak

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Terdapat 1,020 sekolah yang dikategori sebagai daif di Sarawak dengan 415 daripadanya berada pada tahap tersangat daif dan uzur serta perlu dibina baharu, kata seorang ahli Parlimen dari Sarawak hari ini.

Ahmad Johnie Nawawi (GPS-Igan) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat berkata setakat ini, sebanyak 433 sekolah sudah dibaik pulih manakala baki 587 lagi akan diusahakan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan khas yang lebih besar dalam Belanjawan 2021 bagi mengatasi masalah sekolah daif serta isu-isu pendidikan yang berkaitan.

“Saya juga memohon kepada Kementerian Pendidikan supaya sekolah daif yang akan dibina (dibaik pulih) nanti dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan makan, dewan perhimpunan, asrama, kuarters guru dan lain-lain kelengkapan yang diperlukan,” katanya di sini.

Secara analoginya, beliau berkata, dengan peruntukan RM1 bilion hanya dapat membaik pulih dan membina baharu lebih kurang 133 sekolah sahaja secara purata setiap tahun.

“…selama manakah isu baki 587 sekolah daif dapat diatasi sepenuhnya? Pada perhitungan saya, ia akan ambil masa lebih kurang lima tahun, itu pun kalau dapat peruntukan RM1 bilion.

“Kalau diandaikan Sarawak dapat peruntukan RM500 juta setiap tahun maka masalah sekolah daif di Sarawak hanya dapat selesai dalam tempoh lebih kurang lapan tahun, dan kalau RM250 juta setahun, isu sekolah daif hanya dapat diselesaikan dalam tempoh 16 tahun.

“Saya amat risau sekali mengenai tempoh masa yang diambil untuk pelaksanaan projek sekolah daif di Sarawak jika trend peruntukan belanjawan daripada kerajaan Persekutuan tidak ditambah dalam setiap kali bajet,” katanya.

Misalnya pada tahun 2019, beliau berkata, Sarawak hanya mendapat RM100 juta peruntukan untuk sekolah daif yang hanya dapat diguna bagi melaksanakan 32 sekolah sahaja manakala pada tahun 2020, Sarawak tidak menerima sebarang peruntukan untuk sekolah daif.

“Dalam Belanjawan 2021, sebanyak RM725 juta diperuntukkan untuk Sarawak dan Sabah bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur 50 sekolah daif,” katanya.

Sementara itu, Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) berkata, walaupun ramai berpendapat pertambahan peruntukan pembangunan kepada Sarawak sebanyak RM100 juta iaitu daripada RM4.4 bilion kepada RM4.5 bilion dalam Belanjawan 2021 dianggap peningkatan sedikit, namun perkara itu tidak boleh dilihat dalam satu sudut.

Jelasnya, kerajaan telah mengembalikan beberapa projek yang selama ini tertangguh sejak dua tahun lepas antaranya projek menaik taraf Jalan Datuk Mohamad Musa di Laluan 8,101 dengan perbelanjaan sebanyak RM229 juta.

“Semoga usaha ini menjadi titik mula ke arah pengembalian hak Sarawak secara beransur-ansur seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 termasuklah penurunan kuasa dalam hal berkaitan pendidikan, perundangan, kesihatan dan seumpamanya,” katanya. – Bernama