Bomba pertaruh nyawa selamatkan kucing

in Edisi Selangor KL by

PUCHONG – Bukan sekadar menyelamatkan manusia serta harta benda, malah sanggup mempertaruhkan nyawa menyelamatkan seekor kucing.

Itu antara tindakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia apabila menjalankan operasi menyelamatkan seekor kucing di jambatan berhampiran D.Island Putra Perdana, Puchong di sini petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian pada jam 5.17 petang tadi.

“Maklumat diterima memaklumkan seekor kucing terperangkap di atas longgokan sampah hanyut yang tersangkut pada tiang jambatan.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian kira-kira jam 5.18 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja menyelamat kucing tersebut.

“Kerja menyelamat dijalankan menggunakan kaedah repelling dan sistem takal.

“Kucing berkenaan berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada tuannya,” katanya.