[DIKEMASKINI] Covid-19: Kes positif Lembah Klang terus melonjak

in Koronavirus by

PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Kes positif koronavirus (Covid-19) di Lembah Klang terus melonjak kepada 518 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, jumlah itu antara penyumbang kepada 1,210 kes baharu positif Covid-19 di negara ini.

“Jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah 49,730 kes dengan 12,788 masih dirawat,” katanya.

Menurutnya, daripada 518 kes di Lembah Klang, sebanyak 435 adalah daripada kluster.

“Sebanyak 206 kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur adalah daripada Kluster Tapak Bina Damanlela yang kesemuanya melibatkan warga asing,” katanya.

Beliau berkata, 142 kes dilaporkan di Selangor pula adalah terdiri daripada Kluster Teratai yang melibatkan 131 warga asing.

“Kedua-dua kluster ini merupakan kluster tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, katanya, di Sabah pula mencatatkan sebanyak 499 kes baharu Covid-19 hari ini.

“Sebanyak 122 kes dilaporkan daripada Kluster Penjara Sandakan, manakala 106 kes pula adalah daripada kluster baharu iaitu Kluster Avenue,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 172 kes yang dilaporkan pada hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di penjara.

“Ini melibatkan Kluster Penjara Sandakan (122 kes), Kluster Tembok (20 kes), Kluster Penjara Kepayan (16 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (14 kes),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 67 kes baharu, selain Perak (47 kes), Pulau Pinang (33 kes), Kelantan (19 kes), dan Johor (14 kes).

“Kes-kes positif di Kedah pula merekodkan sebanyak lapan kes, Melaka dan Putrajaya masing-masing dua; manakala Labuan, Sarawak dan Terengganu mencatatkan masing-masing peningkatan satu kes.

“Daripada 1,210 kes baharu hari ini, sebanyak 19 kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 105 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 40 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia ialah sebanyak 318 kes iaitu bersamaan 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Berdasarkan ringkasan kes kematian pula, beliau berkata, empat direkodkan di Sabah dan satu di Perak.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan sebanyak 1,018 kes pulih hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 36,624 kes bersamaan 73.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.