Gelombang ketiga Covid-19 lebih mencabar

in Edisi Selangor KL by

KUALA LUMPUR – Skim i-Sinar iaitu pengeluaran wang dalam akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diharap dapat membantu merancakkan ekonomi negara.

Peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur, Shamzul Nizam Mohd Ghazali, 36, berkata, dia melihat gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, disusuli dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih mencabar berbanding keadaan sebelumnya.

Menurutnya, kebanyakan rakyat tidak menjangkakan situasi Covid-19 akan menjadi semakin buruk seterusnya turut menjejaskan sektor perniagaan.

“Saya harap bantuan kerajaan diperluaskan kerana ada antara kita yang hilang pekerjaan atau tiada pendapatan. Duit tabungan mereka telah habis digunakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Dengan adanya i-Sinar ini selain digunakan untuk kelangsungan hidup, dapat meningkatkan kuasa beli dan membantu peniaga untuk turut sama bernafas mendepani Covid-19,” katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian baru-baru ini.

Jurulatih kecergasan persendirian (personal trainer fitness), Asrul Rizal Ariffin, 42, berkata, dia tidak menjangkakan berlakunya gelombang ketiga Covid-19 yang memaksanya meneruskan pekerjaan di pasar borong bagi menyara kehidupan.

“Selepas sektor ekonomi dibuka ramai kembali bekerja, cuma saya masih bertahan di pasar borong memandangkan sektor gimnasium belum pulih sepenuhnya.

“Orang masih takut-takut nak ke gimnasium menyebabkan tak ramai gunakan khidmat saya. Jika dulu boleh melatih 15 orang untuk beberapa sesi kini hanya dua orang sahaja yang ikuti kelas saya.

“Isteri yang terlibat dalam bidang latihan kecergasan juga hilang pendapatan menyebabkan saya perlu cari kerja lain bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Bekas tukang masak, Fong Kong Lam, 41, turut mengakui terpaksa bekerja di pasar borong selepas hilang pekerjaan akibat restoran tempatnya bekerja ditutup.

“Gelombang ketiga Covid-19 lagi teruk, perniagaan di pasar borong pun perlahan selepas kerajaan tak benarkan majlis keramaian diadakan.

“Kebanyakan yang datang membeli di sini hanya peniaga, untuk orang-orang awam biasanya membeli di kedai runcit sahaja.

“Selagi vaksin Covid-19 belum ada selagi itu orang takut nak keluar rumah. Biasanya setiap kali tibanya sesuatu perayaan ramai yang turun membeli umtuk persiapan tapi kali ini jumlahnya sangat kurang,” katanya.