MB Perak ucap takziah kepada keluarga Baharom

in Nasional by

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merakam ucapan takziah di atas pemergian Ketua Pengarang Sinar Harian, Allahyarham Datuk Baharom Mahusin yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.

Ahmad Faizal dalam hantaran Facebook beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharom dan seluruh warga Sinar Harian.

“Bersama kita doakan semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.

“Semoga ahli keluarga yang dicintai Allahyarham Datuk Baharom tabah menghadapi ujian yang berat ini,” katanya.

Baharom, 54, dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira jam 7.23 pagi tadi selepas mengalami pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah.

Allahyarham yang dilantik sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian pada 1 April tahun lalu meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Bilal Bin Rabah, Taman Koperasi Polis Kuala Lumpur untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinan, Taman Batu Muda untuk disemadikan.