Empat nelayan dikhuatiri hilang ditemui berpaut pada bot

in Tragedi by

BESUT – Empat nelayan warga Myanmar yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka dipukul ribut awal pagi tadi, ditemukan selamat dalam keadaan berpaut pada bot yang hampir tenggelam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kesemua mereka ditemukan selamat dalam sebuah bot nelayan tempatan pada jam 3.48 petang tadi di kawasan perairan Pulau Susu Dara di sini.

“Bot berkenaan secara kebetulan melalui lokasi kejadian dan bertindak menyelamatkan mangsa yang ketika itu sedang berpaut pada bot yang hampir tenggelam.

“Semua mangsa dibawa balik ke Pangkalan Maritim Wilayah Timur dan telah dilakukan proses pengecaman oleh pemilik bot.

“Kesemua mangsa berusia lingkungan 30-an dan 40-an kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan jam 5 petang tadi.

Azrol Anuar turut menasihatkan orang awam terutama nelayan supaya memeriksa keadaan cuaca sebelum turun ke laut.

“Kita sarankan supaya mereka yang terdedah kepada risiko ini memeriksa dahulu keadaan cuaca sebelum ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam: Empat nelayan dikhuatiri hilang