Tak mengaku langgar anggota trafik hingga parah

in Mahkamah by

IPOH – Seorang penagih dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera parah, Selasa lalu.

Tertuduh, Nor Azman Mat Salleh, 35, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan telah menyebabkan kecederaan parah ke atas anggota polis, Koperal Mohd Aizal Md Lazim yang bertugas di sekatan jalan raya di Jalan Silibin, kira-kira jam 11.15 pagi.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 44 (1A) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan sejumlah RM10,000 bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan isterinya mengandung.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 14 Januari 2021 untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sinar Harian melaporkan seorang anggota trafik parah selepas melambung dan terseret akibat dirempuh sebuah motosikal yang cuba lari dari sekatan jalan raya di Jalan Silibin.

Kejadian itu mengakibatkan anggota tersebut cedera di kepala, muka, tangan dan badan.