Cubaan seludup ubat sabung ayam, petrol gagal

in Edisi Sabah Sarawak by

SEMPORNA – Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan empat lelaki menyeludup barangan perubatan haiwan tanpa lesen dan petrol dalam satu serbuan di kawasan Pondohan Kuala Bibang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, seorang lelaki berusia 18 tahun turut ditahan manakala tiga lagi melarikan diri.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, polis mengesyaki sekumpulan empat lelaki melakukan aktiviti mencurigakan selepas mendapati mereka sedang memunggah barang dari tiga bot laju ke dalam sebuah rumah.

Bagaimanapun katanya, kesemua mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

“Pemeriksaan menemui 24 tong jerikin kosong, 21 jerikin berisi sebanyak 525 liter petrol dan tiga kotak dipercayai mengandungi barang-barang perubatan haiwan tanpa lesen iaitu ubat sabung ayam.

“Pemeriksaan pada rumah tidak bernombor itu pula menemui satu kotak dipercayai mengandungi barang perubatan haiwan tanpa lesen dan dipercayai dijadikan tempat menyimpan barangan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan yang bernilai RM83,386.75 diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Veterinar Semporna untuk siasatan lanjut.

“Kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Veterinar 1974,” katanya.