PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

November 2020 - page 2

PDRM antara diperintah fail penyataan pembelaan

in Mahkamah by

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga pihak lagi diperintah untuk memfailkan penyataan pembelaan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung kes saman oleh seorang guru tadika, M Indira Gandhi.

Mereka ialah Ketua Polis Negara (KPN), PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.

Indira Gandhi memfailkan tindakan undang-undang itu kerana mendakwa defendan gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan anak perempuan mereka berusia 12 tahun pada 2010 lalu.

Mahkamah mengeluarkan arahan itu semasa pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof.

Kesemua defendan pula diwakili Peguam Persekutuan Safiyyah Omar.

Sementara itu, peguam, Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira ketika dihubungi berkata, kesemua defendan diarah untuk memfailkan penyataan pembelaan sebelum atau pada 2 Disember ini.

“Pihak plaintif iaitu Indira pula diarah untuk memfailkan tuntutan balas sebelum atau pada 16 Disember ini.

“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 30 Disember akan datang,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga defendan juga telah memasukkan memorandum kehadiran pada 18 November lalu, selepas saman diserahkan kepada mereka awal bulan ini.

Media sebelum ini, melaporkan bahawa PDRM sedang meneliti langkah sewajarnya dalam usaha mempercepatkan proses menyatukan kembali Indira Gandhi dengan anak perempuan bongsunya, Prasana Diksa.

Ketika ini belum ada sebarang petunjuk mengenai lokasi Muhammad Riduan yang hilang bersama tiga anaknya pada 2011.

Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

RUU Perbekalan 2021 bagi JPM lulus peringkat jawatankuasa

in Belanjawan 2021 by

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM4.47 bilion menerusi undi belah bahagi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undian berkata sejumlah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju, manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir.

Undi belah bahagian itu diadakan selepas lebih 15 ahli Parlimen bangun meminta proses belah bahagian dilakukan.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi JPM, menyentuh isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jumlah pelantikan anggota pentadbiran yang besar.

Mohd Redzuan berkata, pelantikan itu berdasarkan keperluan kerajaan terutama dalam memastikan segala program dan projek kerajaan dilaksanakan dengan cekap, lancar serta memberi impak yang lebih bermakna.

“Dalam hal ini, jumlah anggota pentadbir Perikatan Nasional tak terlalu besar, walaupun ada penambahan berbanding ketika kerajaan Pakatan Harapan. Ini dibuat atas keperluan semasa bagi memastikan segala projek kerajaan berjalan lancar dan memberi impak yang lebih bermakna,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menggulung perbahasan bagi pihak portfolio beliau berkata, lebih daripada RM536 juta zakat dikutip oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) khusus untuk membantu mereka yang terjejas ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Bagi inisiatif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa bermula Mac lepas, menurutnya, MAIWP membelanjakan hampir RM75 juta untuk membantu mereka yang terjejas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung isu berkaitan Parlimen dan Undang-undang pula berkata, kerajaan sedang meneliti penubuhan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Menurutnya, berdasarkan libat urus dan tinjauan yang dijalankan terhadap pegawai yang sedang berkhidmat di Parlimen mereka lebih cenderung agar perkhidmatan Parlimen dibuat secara terbuka atau ‘open service’ kerana menganggap ia lebih baik dari segi kenaikan pangkat dan peluang kerjaya yang lebih luas.

“Akta Perkhidmatan Parlimen yang pada asalnya ditubuhkan pada 1963 tapi telah dibatalkan pada 20 November 1992. Untuk maklumat, draf Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen sebenarnya telah ada disediakan. Namun demikian kerajaan memperhalusi dan meneliti kembali penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di peringkat Jawatankuasa bagi JPM selama kira-kira satu jam 45 minit.

Perbahasan hari pertama peringkat jawatankuasa rang undang-undang itu tertumpu kepada pelbagai isu, antaranya berkaitan peruntukan perbelanjaan untuk Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah, penyerapan pekerja kontrak, peruntukan perbelanjaan hal ehwal Islam, pilihan raya kecil Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri Bugaya serta Sabah dan Sarawak. – Bernama

[LIVE] Sidang Parlimen Dewan Rakyat (Sesi Pagi) -30 November 2020 #SinarHarian #Parlimen #DewanRakyat https://t.co/nnMBmAVVww

— SinarOnline (@SinarOnline) November 30, 2020

Dua lelaki tular bergaduh didenda RM800

in Mahkamah by

KAJANG – Dua lelaki termasuk seorang penghantar makanan yang tular bergaduh di Bandar Mahkota Cheras minggu lalu, didenda RM800 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Penghantar makanan, Jasmady Jasman, 27, dan pengawal peribadi, Saiful Shazni Hanif, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh itu, menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan gaduh gempar di tempat awam yang mana ia mengganggu ketenteraman awam.

Kejadian dilakukan di pondok pengawal keselamatan kondominium di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada jam 11.15 pagi, 25 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 160 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, Jasmady mendakwa mahu menghantar makanan kepada Saiful Shazni namun dihalang masuk oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut.

Lalu Jasmady menghubungi Saiful Shazni supaya dia turun dan mengambil makanan di pondok pengawal sendiri.

Saiful Shazni yang tidak berpuas hati dengan permintaan itu, bertindak memaki dan menolak Jasmady sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar mereka tidak bergaduh di tempat awam.

“Semua masalah boleh diselesaikan tanpa melakukan pergaduhan,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman ringan.

Jasmady berkata, dia hanya bertindak untuk mempertahankan diri namun kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan selain motosikalnya rosak.

Sementara bagi Saiful Shazni, dia merayu agar dikenakan hukuman ringan memandangkan dia merupakan seorang penanggung tunggal keluarga.

Sejak minggu lalu, tular video di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki bergaduh dengan seorang penghantar makanan di kawasan awam.

Video berdurasi 19 saat itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang menganggap kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

Jurujual mengaku tidak salah langgar lelaki di LEKAS

in Mahkamah by

KAJANG – Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) beberapa hari lalu.

Hoi Yew Seng, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Tertuduh didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Nelzin Didal Mat Lazim, 44.

Kejadian didakwa berlaku di kilometer 3.8 Lebuhraya Kajang – Seremban (LEKAS), Hulu Langat, di sini, pada jam 11.35 pagi, pada 27 November lalu.

Dia yang juga bapa kepada tiga anak, didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama 10 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tan Teck Yew memohon ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perniagaannya merosot sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahrul Sazly membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh dikehendaki menyerahkan paspor kepada mahkamah dan mahkamah menetapkan 4 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes,” katanya.

Pasaran ikan air tawar di Pahang semakin rancak

in Edisi Pahang by

KUANTAN – Pasaran ikan air tawar di Pahang semakin rancak apabila menerima permintaan tinggi daripada beberapa negeri di dalam negara ini meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diteruskan susulan wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, hasil akuakultur itu dapat dipasarkan ke negeri jiran seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Terengganu selepas kelonggaran perjalanan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, sebelum ini pasaran ikan air tawar agak perlahan di peringkat awal PKP sehingga menjejaskan pendapatan penternak di beberapa daerah seperti Temerloh, Pekan dan Jerantut.

“Tapi kini, saya difahamkan pasaran ikan air tawar yang diternak di Pahang sudah mula rancak dan mereka (penternak) tidak lagi berhadapan masalah untuk memasarkan hasil ternakan tersebut.

“Jadi, saya berharap penternak akuakultur di negeri ini dapat meneruskan semula projek yang diusahakan terutamanya selepas mereka berhadapan masalah sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, pihaknya telah melepaskan sebanyak 22,000 benih ikan spesies Terbul, Kerai Kunyit dan Lampam Sungai ke perairan Tasik Burung Mandi, Lipis.

Program Penyerahan Bantuan Benih Ikan kepada Penternak Akuakultur dan Bantuan Program Rezeki Tani Daerah Lipis itu telah disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihaknya juga telah memberi bantuan sebanyak 2,000 benih ikan Tilapia Merah kepada empat penternak akuakultur di daerah Lipis.

Jelasnya, bantuan itu antara usaha pihaknya bagi membantu meringankan beban golongan penternak yang terkesan dengan peningkatan harga benih dan makanan ikan.

“Bantuan benih dan makanan ikan ini dilakukan sepanjang tahun di semua daerah namun jumlah mereka yang layak menerima bergantung kepada peruntukan diterima jabatan.

“Kita akui harga makanan ikan di peringkat anak dan dewasa yang tinggi, kini menjadi beban utama kepada penternak hingga ada yang terpaksa mengecilkan jumlah sangkar ternakan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai program pelepasan ikan itu, Abdullah berkata, pelepasan sebanyak 22,000 benih ikan spesies Terbul, Kerai Kunyit dan Lampam Sungai ke perairan Tasik Burung Mandi bagi meningkatkan stok ikan di tasik terbabit.

Katanya, langkah itu juga akan menjadikan tasik berkenaan sebagai produk pelancongan di Pahang, khususnya di daerah Lipis.

ESSCom tahan pengedar syabu

in Edisi Sabah Sarawak by

KALABAKAN – Pengedar dadah ditahan selepas didapati memiliki syabu bernilai RM4,200 dalam satu serbuan di sebuah rumah di dalam kawasan ladang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki warga asing berusia 20 tahun ditahan bersama 47.47 gram syabu, alat penimbang digital dipercayai digunakan untuk dadah berkenaan dan wang tunai sebanyak RM270.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan tugas rondaan jarak jauh Op Benteng di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki didapati berdiri di hadapan rumah berkenaan dan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila anggota keselamatan menghampiri, lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek menemui lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 47.47 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fuad berkata, suspek yang tiada dokumen pengenalan diri ditahan dan beberapa barang dirampas untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM4,700 membabitkan syabu, satu unit alat penimbang digital dan wang tunai RM270.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Fuad berkata, ESSCom dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan dengan melaksanakan rondaan agresif secara bersepadu bagi mengekang dan membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di negara.

“Semua lapisan masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) juga diminta sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kerajaan.

“Ini termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCom di talian 089-863181 atau menghubungi balai-balai polis yang berhampiran.

Gelagat kanak-kanak atas bumbung buat netizen kecut perut

in Viral by

SHAH ALAM – Satu klip video yang memaparkan seorang kanak-kanak sedang berjalan di atas bumbung sebuah apartmen tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Rizal Hakimm, klip video berdurasi 0:26 saat itu memaparkan kelibat kanak-kanak berkenaan berada seorang diri di atas bumbung apartmen terbabit yang dipercayai terletak sekitar Kajang.

Sehingga jam 6 petang tadi, video tersebut yang dimuat naik sejak 26 November lalu telah mendapat sebanyak 146 perkongsian dan 178 komen daripada netizen yang rata-ratanya menyatakan kebimbangan risiko bahaya berikutan tindakan kanak-kanak itu.

Seorang netizen dikenali sebagai Eyda Basri berkata, kanak-kanak itu mungkin sedang bermain di atas bumbung berkenaan bersama rakannya yang lain menerusi video itu.

“Ini macam tengah main nyorok-nyorok. Aku yang tengok pun dah rasa kecut perut. Berani betullah budak ni,” katanya.

Sementara itu, ada di antara netizen turut mempersoalkan aspek keselamatan yang diuruskan oleh pihak pengurusan apartmen terbabit sehingga menyebabkan kanak-kanak itu dapat naik ke tingkat atas bumbung berkenaan.

Md Asyraf Idris berkata: “Pintu tidak dikunci. Pihak pengurusan tak pantau ke?” soalnya.

Dalam pada itu, Ismail Isa menggesa agar ibu bapa dapat memantau anak masing-masing khususnya sewaktu cuti persekolahan ini bagi menggelakan sebarang kejadian tidak diingini.

Ismail turut menggesa agar laporan polis dapat dibuat oleh saksi bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh pihak berkuasa.

“Tolonglah ibu bapa di luar sana, pantau anak masing-masing, tambahan pula pada musim cuti ini. Risau tengok budak ini dan harap laporan polis dapat dibuat segera,” katanya.

Rizal Hakimm

AMK jangan terjerumus dalam provokasi segelintir ahli Amanah

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) diingatkan supaya tidak terjerumus dalam provokasi yang cuba ditimbulkan oleh segelintir Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).

Provokasi itu timbul susulan rasa tidak puas hati sebahagian ahli Amanah apabila enam daripada 11 ahli Parlimen parti itu berdiri tanpa sokongan untuk membuat usul undi belah bahagi dalam penggulungan Belanjawan 2021 pada Khamis lalu.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimi berkata, pelbagai pihak telah menerangkan strategi dan sebab keputusan itu diambil, namun sejak insiden terbabit, provokasi tidak putus-putus sehingga ada yang meminta Amanah mempertimbangkan semula kedudukan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kita melihat segelintir daripada mereka sudah tidak mengendahkan arahan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang meminta ahlinya untuk memperkukuhkan pakatan bersama rakan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Malah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub terpaksa memohon maaf selepas diasak ahli sendiri berbanding memberi penjelasan mengapa tindakan sedemikian diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razeef berkata, ada segelintir daripada mereka tidak faham keputusan yang diambil atas strategi jangka masa panjang memandangkan situasi politik negara berubah setiap jam.

“Mereka yang berada dalam arena politik sepatutnya faham akan strategi sebelum mengambil sebarang langkah agar tidak tersungkur jika kesilapan berlaku.

“Namun tanpa mengambil peduli sebab keputusan berkenaan dibuat, serangan demi serangan terus dilakukan.

“Beberapa kenyataan yang berunsur provokatif oleh pemimpin sayap Pemuda dan Wanita Muda Amanah dinafikan sendiri oleh pemimpin sayap berkenaan dengan mendakwa ia hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili sayap berkenaan,” katanya.

Tambah Razeef lagi, ini jelas menunjukkan Amanah masih berada di landasan tepat bersama PH dengan menolak beberapa kenyataan yang mengundang perpecahan.

“Pimpinan AMK pula sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Cabang atau Ranting perlu terus memberi penerangan kepada akar umbi mengenai keputusan yang dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Sekali lagi saya mengingatkan anggota AMK untuk mengabaikan sebarang provokasi dan cubaan untuk memecah belahkan kesepakatan dalam PH yang cuba ditimbulkan segelintir pihak,” katanya.

Remaja maut ketika berkonvoi

in Tragedi by

KULAI – Seorang remaja maut dalam kemalangan melibatkan sembilan motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 35.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10 malam itu, remaja berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR hilang kawalan sebelum melanggar belakang kereta Toyota Camry yang sedang bergerak di lorong kiri.

Difahamkan, mangsa berkonvoi melibatkan lebih 20 buah motosikal dari Johor Bahru menuju ke arah Sedenak.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, lapan motosikal lain yang berada di belakang gagal sebelum mengelak dan melanggar antara satu sama lain.

“Remaja lelaki tersebut cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang hadir memberikan rawatan awal di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya, polis sedang mengesan beberapa lagi mangsa yang terlibat dan sebahagiannya dirawat di hospital sama.

Jelas beliau, ketika kemalangan kumpulan penunggang motosikal tersebut bukan berlumba.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Cukai rokok elektronik terlalu rendah, rugikan negara

in Belanjawan 2021 by

SHAH ALAM – Kadar cukai dikenakan ke atas industri rokok elektronik (vape) dalam Belanjawan 2021 perlu diteliti dengan lebih mendalam kerana ia terlalu rendah dan akan merugikan negara untuk jangka masa panjang.

Perkara itu dinyatakan oleh MQ Consultant, sebuah syarikat penyelidikan dan teknologi tempatan yang terlibat dalam melakukan kajian mendalam terhadap industri rokok elektronik di Malaysia.

“Nilai cukai yang diusulkan untuk industri rokok elektronik terlalu rendah daripada apa yang dikenakan ke atas industri tembakau sedangkan potensi kerajaan untuk meraih pendapatan adalah besar.

“Ini kerana ramai perokok tembakau dunia termasuk di Malaysia semakin beralih kepada rokok elektronik.

“Pengenaan cukai merupakan langkah pertama yang penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik. Satu kajian yang teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan. Kita tidak boleh menggunakan satu ukuran atau struktur cukai sesuai untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan 2021 yang diluluskan peringkat dasar Khamis lalu antara lain mengenakan duti eksais sebanyak 40 sen untuk setiap mililiter (ml) cecair rokok elektronik akan mula dikuatkuasakan mulai Januari 2021.

Mengulas lanjut, MQ Consultant berkata, Malaysia boleh dikatakan agak lambat dalam mengenakan cukai ke atas rokok elektronik.

Menurutnya, di peringkat Asia seperti Indonesia, Filipina dan Korea telah pun memperkenalkan cukai ke atas rokok elektronik seawal 2011 dan ketiga-tiga negara itu telah mengenakan tarif cukai yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

“Pengenaan cukai yang rendah ini merupakan satu kerugian kepada Malaysia kerana ia sepatutnya menaikkannya lagi bagi semua cecair rokok elektronik. Malah, cukai ini boleh dijadikan sebagai sebahagian langkah mengawal tabiat merokok.

“Walaupun industri rokok elektronik di Malaysia diunjurkan bernilai berbilion ringgit, ia masih

dianggap sebagai ‘black economy’ (ekonomi gelap) yang berpotensi mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara,” katanya.

Menurut MQ Consultant, bancian terkini menunjukkan terdapat tiga juta pengguna rokok elektronik di Malaysia pada masa ini dan kerajaan perlu memanfaatkannya.

“Dengan mengadakan peraturan percukaian, satu situasi yang menguntungkan semua pihak boleh diwujudkan. Ia bukan hanya meningkatkan sumbangan kepada ekonomi negara tetapi juga membantu usaha kerajaan dalam menambah baik kehidupan sosial dan kesihatan rakyat Malaysia dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Kembali UTAMA