PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

November 2020 - page 3

Anwar pertahan tindakan PH sokong Belanjawan 2021 peringkat dasar

in Belanjawan 2021 by

SHAH ALAM – Kompromi Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 adalah kemenangan untuk pihak pembangkang dan rakyat.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada sebab untuk menolak Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat Khamis lalu selepas cadangan yang dapat membantu rakyat telah dipertimbangkan.

“Seminggu sebelum (pengundian), saya keluarkan kenyataan. Jika cadangan kami tidak dipenuhi, kami akan tolak Belanjawan 2021 secara keseluruhan. Apa yang berlaku ialah Menteri Kewangan membuat kompromi besar.

“Jika kompromi dibuat membantu mereka yang menyimpan wang di bank, nelayan, petani, penjawat awam, petugas barisan hadapan yang melawan Covid-19, mengapa kita perlu tolak (belanjawan)?

“Bagaimana kita akan jelaskan kepada orang ramai? Ini yang mereka mahu. Tengku Zafrul akur (kepada desakan PH). Adakah kita masih tolak? Atas dasar apa?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama portal The Vibes memetik laporan sebuah portal hari ini.

Pada penggulungan RUU Perbekalan 2012 (peringkat dasar) Khamis lalu, antara perubahan yang dibuat ialah meluaskan program pengeluaran akaun satu KWSP i-Sinar merangkumi semua pencarum yang terjejas pendapatan dengan peningkatan had keluar kepada RM10,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar perjelas sebab tidak sokong undi belah bahagi

Turut diumumkan moratorium pinjaman bank secara automatik kepada golongan B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Anwar menambah, di peringkat dasar, pembangkang dari satu segi telah menang kerana banyak cadangan mereka diterima.

Pada masa sama katanya, kompromi juga menunjukkan kerajaan tidak bersedia berdepan Parlimen dengan belanjawan asal.

“Bagi saya, kita boleh dikatakan menang kerana banyak permintaan kita termasuk yang dibuat ahli Parlimen kerajaan telah diterima. Walaupun tidak sama tetapi ada sebahagiannya.

“Secara (undi) suara kita menolak tetapi tidak menggesa belah bahagi untuk memberi laluan kepada perbahasan di peringkat jawatankuasa. Keputusan besar adalah pada 15 Disember, untuk menerima atau menolak belanjawan. Itu pusingan terakhir,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menerima kritikan dari dalam PH sendiri setelah arahan saat akhir agar gabungan itu tidak meneruskan undi belah bahagi.

Bagaimanapun, beliau dalam kenyataan pada Khamis berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Jelas beliau, PH tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN) atas sebab beberapa isu utama yang tidak dijawab, seperti perbelanjaan ‘tidak realistik’.

‘Fokus saya adalah pada pemulihan ekonomi negara, bukan politik’

in Belanjawan 2021 by

KUALA LUMPUR – Beliau bukan seorang ahli politik dan tidak pernah cenderung ke arah itu, tokoh bank dan kini merupakan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz tekad untuk kekal sebagai seorang ahli teknokrat dan akan terus memastikan kehidupan dan mata pencarian rakyat negara ini dilindungi terutama dalam situasi penularan pandemik kesihatan pada masa ini.

“Saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik pun dan sebagaimana yang anda tahu, pada masa ini saya bukan ahli mana-mana pihak,” kata beliau ketika ditanya sekiranya beliau berminat untuk menyertai politik dan seterusnya menjadi wakil rakyat.

Ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan untuk merancakkan ekonomi dan itulah fokus utama sekarang, kata beliau.

“Saya ingin memberi tumpuan bagaimana saya boleh membantu Malaysia memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) dan meningkatkan kedudukan ekonomi kita. Jadi, fokus saya sekarang ialah terhadap ekonomi,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Oleh itu, buat masa ini, saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik,” kata beliau yang percaya akan kemampuannya dalam membangunkan ekonomi negara yang terjejas oleh pandemik kesihatan tanpa perlu berpolitik.

Ekonomi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan penguncupan -2.7 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding -17.1 peratus pada suku kedua, mengambil kira tempoh tujuh minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac yang dikuatkuasa bagi membendung penularan Covid-19.

Tengku Zafrul mengangkat sumpah sebagai senator pada 10 Mac, 2020 berikutan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan.

Kerajaan telah melonggarkan sekatan PKP pada 4 Mei dan perniagaan dibenarkan menyambung operasi mengikut sektor dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Berikutan itu, kadar pengangguran telah menurun kepada 4.6 peratus pada September daripada 5.3 peratus pada Mei tahun ini.

Pelbagai pakej rangsangan juga telah diperkenalkan iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Prihatin SME+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kita Prihatin – keseluruhannya bernilai RM305 bilion setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Inisiatif tambahan hasil cadangan ahli Parlimen: Tengku Zafrul

Berasal dari dunia korporat, beliau baru-baru ini menerima kecaman ketika mengumumkan beberapa inisiatif baharu semasa sesi ucapan penggulungan Belanjawan 2021.

Mempertahankan tindakan itu, beliau berkata – mungkin dalam situasi luar biasa, memerlukan langkah dan tindakan yang luar biasa juga.

Menerusi catatan di Facebook, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa inisiatif itu bukan cadangannya tetapi datang daripada penggubal undang-undang itu sendiri semasa sesi perbahasan di parlimen.

”Kesemua penambahbaikan yang diumumkan adalah hasil cadangan daripada ahli-ahli Yang Berhormat (YB) sendiri — baik daripada kerajaan mahupun pihak pembangkang.

“Contohnya, cadangan untuk memanjangkan pemberian khas secara ‘one-off’ kepada petugas barisan hadapan yang diiktiraf di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dibangkitkan oleh, antara lain, YB Pontian, YB Ipoh Barat, YB Hulu Rajang dan YB Lembah Pantai – kesemuanya daripada parti politik yang berbeza,” katanya.

Keputusan untuk memanjangkan bantuan dibuat setelah mengambil kira hujahan-hujahan di parlimen seperti gelombang ketiga Covid-19 yang kian menular dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

Begitu juga penambahan pemberian program eBelia daripada RM50 kepada RM100, dan perluasannya kepada 1.1 juta mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan IPT Swasta.

“Tetapi dalam perkhabaran baik ini, saya ada pengakuan – Kerajaan tidak mampu menerima atau melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan.

“Seperti yang saya sebut ketika penggulungan tempoh hari, peranan Kerajaan adalah untuk sentiasa mengimbangi kepentingan-kepentingan yang pelbagai – baik dari segi implikasi kos, memastikan penerima adalah yang benar-benar memerlukannya, implikasi kepada pasaran atau penarafan ekosistem perbendaharaan negara. Saya akui, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Namun, apabila berbangkitnya pertembungan antara kepentingan-kepentingan ini, Kerajaan akan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Tiada kompromi,” jelasnya. – Bernama

Inisiatif tambahan hasil cadangan ahli Parlimen: Tengku Zafrul

in Belanjawan 2021 by

SHAH ALAM – Inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2021 sebenarnya hasil cadangan daripada ahli-ahli Parlimen, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan, keputusan untuk memanjangkan bantuan berkenaan dibuat selepas mengambil kira hujahan daripada beberapa ahli Parlimen berikutan gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) yang masih menular dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri.

“Sebagai contoh, cadangan untuk memanjangkan pemberian khas secara ‘one-off’ kepada petugas barisan hadapan yang diiktiraf di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah dibangkitkan parti politik yang berbeza seperti Ahli Parlimen Pontian, Ipoh Barat, Hulu Rajang dan Lembah Pantai.

“Begitu juga dengan penambahan pemberian program eBelia daripada RM50 kepada RM100, serta perluasannya kepada 1.1 juta mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Arau dan Muar. Ini kerana kesemua mereka amat prihatin akan isu kebajikan mahasiswa,” jelasnya menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata, penambahbaikan lain seperti peruntukan tambahan kepada Sabah bagi memerangi Covid-19 seperti pelepasan cukai untuk pengurangan sewaan premis oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bantuan untuk pekebun kecil getah dan nelayan darat sememangnya melalui proses perbahasan di Dewan Rakyat atau dibangkitkan rakyat sendiri menerusi pelbagai saluran.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul mengakui kerajaan tidak mampu menerima atau melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan.

“Seperti yang saya sebut ketika penggulungan tempoh hari, peranan kerajaan adalah untuk sentiasa mengimbangi kepentingan yang pelbagai baik dari segi implikasi kos, memastikan penerima adalah yang benar-benar memerlukan dan juga implikasi kepada pasaran atau penarafan ekosistem perbendaharaan negara.

“Malah, saya mengaku bahawa ia bukanlah mudah untuk mengimbanginya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, apabila berbangkitnya pertembungan antara kepentingan itu, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta tiada kompromi.

“Pada kesempatan ini, saya ingin membuat ‘shout-out’ atau pengiktirafan kepada penjawat awam di Kementerian Kewangan dan agensi-agensi perbendaharaan.

“Merekalah yang memberi panduan, nasihat dan kadang kala teguran kepada saya, bahkan memainkan peranan semak imbang yang penting dalam kesemua pertimbangan ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian inisiatif penambahbaikan itu juga tergolong dalam kategori bantuan langsung, subsidi dan insentif.

Secara keseluruhan, katanya, ia mencecah lebih RM30.8 bilion bagi tahun 2021 iaitu jauh lebih tinggi daripada RM23.9 bilion yang diperuntukkan pada tahun 2019.

“Sebagai contoh, bantuan kebajikan bulanan kepada 400,000 golongan terjejas ditingkatkan hampir 47 peratus atau RM700 juta kepada RM2.2 bilion berbanding RM1.5 bilion sebelum ini.

“Sebanyak 20 peratus juga ditingkatkan kepada orang kurang upaya (OKU) yang tidak bekerja, 43 peratus kepada warga emas, bantuan penjagaan OKU dan pesakit kronik yang terlantar serta 12.5 peratus kepada para pekerja OKU.

“Yang paling penting sekali adalah peningkatan bantuan sehingga 122 peratus untuk kanak-kanak keluarga miskin atau bantuan maksimum RM1,000 sekeluarga. Ini adalah komitmen kerajaan dalam membantu golongan rentan, sekali gus memastikan kebajikan anak-anak kita terjaga,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai pihak mempunyai persepsi yang berbeza mengenai belanjawan tersebut dan realitinya tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan juga mempertahankan ekonomi negara.

“Terciptanya belanjawan ini adalah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan kehidupan agar rakyat kita mampu menghadapi cabaran ekoran wabak (Covid-19), bukan hanya ketika menghadapi gelombang ketiga ini tetapi juga bersedia bagi pertumbuhan selepas mengatasi Covid-19 nanti.

“Kebijaksanaan pepatah lama menyatakan ‘tiada buluh yang tidak berbuku’. Maka, sama juga tiada belanjawan yang seratus peratus sempurna,” katanya.

Beberapa penambahbaikan yang saya umum semalam adalah hasil cadangan & idea yang dibangkitkan Ahli Parlimen ketika sesi…

Posted by Tengku Zafrul on Friday, November 27, 2020

Bersatu Sabah sambut baik jaminan PM berhubung isu petroleum, gas

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Badan Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyambut baik jaminan yang diberikan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung rundingan membabitkan petroleum dan gas di negeri ini.

Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihaknya bersyukur apabila presiden memberikan jaminan kesungguhan dan memberi komitmen penuh untuk memulakan rundingan terbabit.

“Bersatu Sabah yakin dan percaya, bahawa kenyataan Perdana Menteri bukanlah retorik, tetapi merupakan satu gerakan yang cukup signifikan di dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu sendiri.

“Apa juga yang bakal dimeterai di dalam rundingan itu nanti, pastinya ia akan memberikan impak positif berskala besar dalam melonjakkan lagi industri petroleum dan gas di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, rundingan itu sudah pasti akan membawa manfaat kepada rakyat Sabah dari pelbagai bentuk menerusi industri itu nanti.

“Lonjakan menerusi industri ini secara langsung turut menghidangkan limpahan kemakmuran dari pelbagai sudut sama ada ekonomi mahu pun sosial yang mampu menjamin kemakmuran rakyat negeri Sabah yang tercinta ini.

“Hakikatnya, rakyat Sabah sudah lama menantikan agar perkara ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin demi memelihara kepentingan rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus berkata, Bersatu Sabah kagum dengan kesungguhan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memperjuangkan perkara ini menerusi pembentangan usul sempena Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-3 Bersatu semalam.

“Dalam ucapan Penggulungan, Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu secara terbuka berikrar akan melaksanakan perkara itu dengan segera yang mungkin untuk kebaikan rakyat Sabah dan sebagai tanda terima kasih di atas sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Dengan ikrar itu, ia jelas menggambarkan hubungan akrab antara kerajaan negeri di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerajaan Pusat.

“Dengan wujudnya keadaan ini, sudah pasti mampu mewujudkan iklim baik dari segenap sudut demi kemajuan Sabah supaya dapat direalisasikan di bawah kepimpinan era baru secepat yang mungkin,” katanya.

Sehubungan itu, Khairul Firdaus berkata, moto ‘Sabah Maju Jaya’ yang digagaskan oleh Hajiji bersama barisan kabinet pastinya mampu tercapai dengan kesungguhan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh semua pihak demi kelangsungan negeri ini.

“Akhirnya, perpaduan dalam kalangan ahli Bersatu dan rakan dalam GRS harus diperkasakan untuk memastikan kita semua dapat hayati dan seterusnya melaksanakan seruan Perdana Menteri agar ikhlas, terus bekerja dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat supaya PN terus menjadi sandaran dan pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang,” katanya.

Srikandi Bersatu Sabah fokus hadapi PRU15

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyeru jenteranya supaya fokus memperbaiki gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, gerak kerja dari semua aspek harus diperbaiki bagi membawa perjuangan Bersatu kepada rakyat.

“Bersedialah untuk PRU15 kerana ini fokus kita, gerak kerja kita dalam Srikandi mampu melahirkan idea dan mari kita terus cakna dengan idea untuk menjadikan Bersatu lebih kuat, diterima rakyat serta menarik lebih ramai anak muda untuk bersama kita.

“Srikandi juga ada kekuatan yang tidak ada kurangnya, jadi marilah kita semua terus bersatu dan kuatkan jentera kita, utuhkan perjuangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan ‘Abah’ kita, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Presiden Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perhimpunan Agung Srikandi Tahunan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Redonah yang juga Exco Srikandi Bersatu Malaysia berkata, mesej yang disampaikan oleh rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini cukup jelas dan Srikandi Bersatu perlu terus peka.

“Mesej rakyat amat jelas dalam PRN baru-baru ini, kita membentuk kerajaan kerana rakyat yakin dengan kepimpinan ‘Abah’ kita yang mendengar denyut nadi rakyat, kepimpinan prihatin dan kini di Sabah, kita dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar berusaha untuk menunaikan amanat yang diberikan oleh rakyat ini dengan sepenuh jiwa raga.

“Saya juga ingin mengajak semua Srikandi untuk terus menyemai nilai positif sekali gus menuju ke puncak kejayaan dan menepis nilai negatif yang boleh membawa kepada perpecahan sesama kita,” katanya.

Redonah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kota Marudu berharap dalam PRU akan datang, lebih ramai Srikandi diangkat sebagai calon wakil rakyat.

“Ramai juga Srikandi mempunyai kredibiliti dan jika kita jelas layak, wajar diberi peluang dan inilah harapan saya dan semua dari kalangan Srikandi.

“Namun, kita perlu terus bersatu bersama jentera dan saya dengan ini meminta agar semua ketua bahagian Srikandi, berganding bahu dengan anak-anak buah anda untuk kuatkan jentera kita, manfaatkan teknologi dalam berhubung masa kini walaupun kita berdepan dengan cabaran normal baharu kerana pandemik koronavirus (Covidd-19),” katanya.

Terdahulu, persidangan kali ini diadakan secara maya semalam melibatkan pemimpin-pemimpin Bersatu di seluruh negara dengan dipimpin Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.

SKMM bantu pelajar di Kampung Gusi dapatkan capaian internet

in Edisi Sabah Sarawak by

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil inisiatif untuk membantu pelajar di Kampung Gusi, Ranau mendapatkan rangkaian internet menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

SKMM dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan, pihaknya amat bersimpati dengan situasi menimpa tiga orang pelajar yang dilaporkan terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi baru-baru ini.

Bagi mengatasi masalah tersebut, SKMM berkata, pihak mereka telah telah mendapatkan sokongan daripada pihak Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT) selaku State Backed Company Sabah, anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi melalui teknologi VSAT.

“Inisiatif ini merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT dan pengurus besar CTT, Law Chun Ming mengesahkan pemasangan VSAT akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Disember ini,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, SKMM berkata, menara telekomunikasi juga akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Jendela.

“Lokasi-lokasi tersebut sudahpun dinyatakan di dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh SKMM pada 20 November lalu.

“Justeru, semua pelajar dinasihatkan untuk tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian internet,” katanya.

Sementara itu, SKMM berkata, pihak mereka juga sempat berjumpa dengan Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah untuk bertanyakan khabar mengenai keadaan pelajar berkenaan dan mendoakan agar mereka akan sembuh secepat mungkin.

LKIM komited bantu nelayan

in Belanjawan 2021 by

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menegaskan Belanjawan 2020 membuktikan keberanian kerajaan mengemukakan bajet terbesar walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rendah berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal optimis bahawa kerajaan melihat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) penting kerana menyediakan sumber makanan negara termasuk sumber protein utama.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan bajet yang diperuntukkan kepada industri itu khususnya nelayan kerana membantu mereka berbelanja untuk menjalani kehidupan harian dan menyimpan bagi keperluan pada masa akan datang.

“Saya juga berharap kerajaan melihat semula jika ada tambahan bajet untuk LKIM meningkatkan industri baharu dan rantaian bekalan dalam industri perikanan,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Menurutnya, dalam Belanjawan 2021, kerajaan Malaysia menyediakan peruntukan khusus untuk pengembangan industri perikanan sebanyak RM150 juta dalam Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan untuk menaik taraf pukat, bot, peralatan nelayan supaya hasil tangkapan dapat ditambah dengan lebih ekonomi.

“Kerajaan turut menaikkan semula elaun sara hidup nelayan kepada RM300, sekali gus menunjukkan prihatin kepada nelayan.

“Sekurang-kurangnya nelayan ada wang yang mencukupi membeli keperluan makanan harian,” katanya.

Syed Abu Hussin berkata, kerajaan PN melalui MAFI dan agensi khusus menangani isu-isu kesan penularan Covid-19 dan berjaya menyediakan serta mengawal sumber makanan negara sehingga rakyat tidak putus bekalan makanan.

Bagaimanapun, dalam suasana Covid-19 ini banyak industri yang terkesan contohnya penerbangan, pengangkutan dan pelancongan.

“Mereka yang bekerja dalam industri itu hilang pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan tetapi kerajaan membantu secara bersasar. Mereka ada peluang untuk terlibat dalam industri makanan yang berpotensi cerah.

“Ada juga yang pulang ke kampung menjadi nelayan, petani dan pengusaha kedai makanan. Saya berharap kerajaan menyediakan insentif untuk membantu mereka terlibat dalam perniagaan baharu dan boleh kekal bertahan,” katanya.

Menurut Syed Abu Hussin, LKIM memainkan peranan penting bagi memastikan bekalan sumber protein iaitu ikan dan hasil laut negara mencukupi.

“LKIM sedang melaksanakan pembinaan lima stor simpan beku ikan untuk membantu pemasaran dan pengedaran ikan bagi mengatasi lambakan ikan,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan stor itu melibatkan kos berjumlah RM20.8 juta dan sedang dibangunkan di Terengganu, Pahang, Perak, Kedah dan Sabah dan dijangka siap pada tahun 2021.

“Kos pembinaan bilik sejuk itu daripada Peruntukkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE Prihatin- Program Pembekalan Ikan Segar dan Segar Beku).

“Kita menyasarkan setiap stor berkenaan boleh menyimpan 1,700 metrik tan ikan pada satu-satu masa. LKIM membantu nelayan dengan membeli serta memasarkan hasil tangkapan mereka di pasar nelayan di seluruh negara dan melibatkan 87 persatuan nelayan turut membantu dalam menjayakannya,” katanya.

Syed Abu Hussin berkata, untuk merancakkan industri perikanan, LKIM juga sedang berusaha untuk membuat pengeluaran produk isi ikan untuk industri keropok dan hiliran.

“Untuk memacu industri ini, LKIM menggalakkan usahawan mengeluarkan produk berasaskan ikan seperti sate ikan, keropok ikan yang sedang berjalan di Pulau Pangkor, Perak. Kita menjangkakan perniagaan ini akan diperluaskan ke Pulau Langkawi tahun depan,” katanya.

Jelasnya, LKIM juga bercadang memperbanyakkan restoran nelayan di bawah agensi itu yang akan dibuka di Kuala Selangor, Selangor dan Pulau Pangkor, Perak.

“Buat masa ini, restoran nelayan terdapat di Melaka; Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Syed Abu Hussin berkata, LKIM juga membantu nelayan memperkenalkan inisiatif jualan ikan secara terus ke rumah melalui pembayaran tunai semasa serahan (COD).

“Inisiatif ini digerakkan dengan kerjasama membabitkan persatuan nelayan seluruh negara di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat). Tempahan ikan itu boleh dibuat secara dalam talian di www.nekmatbiz.com.my.

“Inisiatif itu diambil susulan penularan Covid-19 sejak Mac lalu untuk memberikan kemudahan kepada pengguna. LKIM turut memasarkan jualan ikan dalam talian melalui e-dagang terkemuka negara, Shopee bagi membolehkan pengguna membeli ikan tanpa perlu ke pasar,” katanya.

Katanya, setakat September lalu, jumlah jualan melalui nekmatbiz.com.my ialah 7520.08 kilogram dan merekodkan RM163,665.89.

“Melalui platform Shopee pula, setakat September 2020, jumlah jualan yang dicatatkan ialah RM54,736.30 dengan merekodkan sebanyak 2.622.4 kilogram melibatkan 831 tempahan,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, bekalan ikan masih mencukupi dengan stok dalam pasaran kini sebanyak 185,000 tan metrik berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan metrik sebulan.

Katanya, pada tahun 2019, jumlah pendaratan hasil laut ialah 1,455,446 tan metrik yang mencatatkan RM11,336.32 juta dan nilai import pula ialah RM4,394 juta dengan jumlah 466,399 tan metrik, manakala nilai eksport ialah RM3,152 juta melibatkan 275,898 tan metrik.

Syed Abu Hussin berkata, ketika musim tengkujuh, LKIM proaktif membantu nelayan dengan memberikan khidmat nasihat dan bantuan kewangan untuk membolehkan mereka membaiki peralatan penangkapan ikan, bot, jala, pukat dan sebagainya.

“Kita juga menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membantu nelayan pada tahun 2020 melibatkan tanaman kontan.

“Melalui Rezeki Tani, LKIM memperuntukkan sebanyak RM500,000 dengan nilai bantuan maksimum RM10,000 setiap peserta,” katanya.

Jelasnya, dalam Program Pembangunan dan Pemerkasaan Persatuan Nelayan, LKIM turut menyalurkan bantuan kepada Persatuan Nelayan yang terlibat dalam projek-projek ekonomi mengikut kluster yang ditetapkan dan berkaitan dengan rantaian nilai dalam industri perikanan.

“Pada tahun 2020, sejumlah RM500,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini. Bagi memastikan industri perikanan negara terus berkembang, Skim Pinjaman Dana Nelayan telah dilaksanakan dengan pinjaman mudah tanpa faedah untuk membantu mentransformasikan golongan nelayan daripada tradisional kepada nelayan komersial.

“Bagi tahun 2020, sejumlah RM6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini,” katanya.

Beliau menambah, LKIM juga bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

“LKIM menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak antaranya ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia dapat dioptimumkan demi memastikan kepentingan nelayan terjaga dan hasil negara dapat dilindungi,” katanya.

Enam kampung di DUN Karambunai terima sumbangan APMM

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban penduduk dengan menyumbangkan bakul makanan di enam kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai hari ini.

Inisiatif itu adalah dengan kerjasama daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai dan Persatuan Anak Perak Sabah (PAPS) yang akan memberi manfaat kepada lebih 400 keluarga di kampung di sekitar kawasan terbabit.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebagai sebuah agensi daripada Persekutuan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri termasuk bagi pelaksanaan program khidmat masyarakat di Sabah.

“Program khidmat masyarakat hari ini adalah untuk membantu mengurangkan beban rakyat di kawasan ini khususnya di Sepanggar dalam usaha kita menangani koronavirus (Covid-19).

“Kita faham ramai rakyat sekarang terjejas dalam konteks ekonomi dan diharap bantuan sumbangan peribadi daripada warga APMM dengan kerjasama Pejabat ADUN Karambunai serta sumbangan orang awam akan dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bakul makanan kepada ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan untuk diserahkan kepada penduduk di bawah DUN Karambunai di Sepanggar hari ini.

Mohd Rosli berkata, inisiatif itu diambil oleh warga APMM sendiri dengan kerjasama daripada NGO dan diserahkan kepada penduduk yang betul-betul terjejas di seluruh Sabah.

“Program ini sudah dilaksanakan di merata tempat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan antaranya termasuk Pulau Mantanani, Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan Pulau Gaya.

“Kebanyakan program ini dilakukan sendiri oleh warga APMM dan dilaksanakan secara rasmi serta tersusun sebagai tanda warga APMM prihatin kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut berkata, bantuan terbabit adalah sebagai salah satu usaha pelbagai pihak termasuk agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri ini.

“Hari ini lebih 400 bakul makanan akan diagihkan kepada enam kampung iaitu Kampung Gentisan, Kampung Wak-Wak, Kampung Kuala Manggatal, Kampung Gudon dan Kampung Napasan.

“Penerima sudah dikenal pasti oleh penyumbang sendiri dan khususnya pada mereka yang terjejas daripada golongan B40,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung dua kawasan di bawah DUN Karambunai yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Yakub meminta masyarakat di lokaliti itu memberi kerjasama kepada pihak berkaitan.

“Setakat ini, pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil proaktif dengan mengadakan PKPD di dua lokaliti iaitu Kampung Numbak dan penempatan Telipok.

“PKPD ini bukan penganiayaan kepada penduduk tetapi ia adalah salah satu langkah untuk mengelak penyebaran wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat daripada terus berleluasa.

“Kerajaan sudah mengambil langkah yang patut, jadi saya minta masyarakat memahami akan perintah PKPD ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Presiden PAPS, Hisyam Ghazali.

Terdahulu, antara makanan yang disumbangkan termasuk beras, telur, ayam, mi segera dan sebagainya.

GLC gesa kerajaan Sabah peka masalah rangkaian internet

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menggesa kerajaan Sabah peka dengan keadaan semasa rangkaian internet di negeri ini.

Kejadian tiga pelajar cedera selepas terjatuh dari jambatan gantung ketika cuba mendapatkan rangkaian internet di Kundasang pada Isnin lalu menunjukkan betapa infrastruktur digital di Sabah amat ketinggalan.

Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB), Ghazalie Ansing berkata, ketika negeri lain bersedia untuk melakukan peralihan daripada 4G, statistik menunjukkan 52 peratus pelajar di Sabah mengalami kekurangan akses internet menyebabkan pelajar gagal mengikuti kelas dalam talian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam isu kemiskinan digital, inilah masanya kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan industri telekomunikasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pelajar cedera jatuh jambatan ketika dapatkan internet

“Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun tahun depan adalah satu pendekatan yang penting dalam usaha untuk mendigitalkan Malaysia sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Sabah berkata, umum sudah sedia maklum aspirasi negara melalui Jendela adalah untuk menaik taraf menara telekomunikasi kepada capaian 4G serta menambah jumlah menara telekomunikasi di negeri ini supaya mendapat capaian internet yang lebih tinggi.

“Pelaksanaan Jendela mampu mencapai objektifnya jika kerajaan Sabah melalui agensinya mengambil peranan utama dan terlibat secara langsung dalam projek pembangunan digital negeri.

“Kerajaan negeri harus mempunyai sistem pemantauan menara telekomunikasi sendiri untuk memantau kerja-kerja lapangan dan kemampanan menara telekomunikasi yang sedia ada.

“Sistem ini juga perlu supaya kerajaan negeri dapat melihat kadar permintaan-penawaran kapasiti internet di setiap lokaliti serta pelan Jendela dapat memanfaatkan rakyat secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, Ghazalie berkata, CTTSB selaku sebagai anak syarikat Warisan Harta milik penuh kerajaan negeri akan berganding bahu dan membantu usaha meningkatkan capaian internet di negeri ini.

“Sebagai pemilik dan pengurus kepada 257 menara telekomunikasi di negeri ini, CTTSB merupakan salah satu operator terbesar dalam industri telekomunikasi negara, justeru kepakaran yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya demi membantu kerajaan Sabah.

“CTTSB akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan agar pelan melebarkan jalur internet ke seluruh pelosok negeri dapat direalisasikan.

“Bagi mencapai aspirasi ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyediakan peruntukan tinggi dan secukupnya kepada Sabah serta akan diuruskan oleh kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu berulang lagi insiden seperti jambatan gantung runtuh atau rakyat terpaksa memanjat pokok dan bumbung bangunan demi capaian internet lebih baik, ini masanya kerajaan negeri Sabah lebih peka dan bertanggungjawab demi rakyat,” katanya.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan lapan remaja terjatuh dari sebuah jambatan gantung setinggi 18 meter dari paras sungai di Kampung Gusi ketika cuba mendapatkan rangkaian internet di kawasan itu untuk mengikuti kelas dalam talian.

Akibat kejadian itu, tiga daripadanya iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut cedera termasuk patah bahagian paha, betis dan cedera pada tulang belakang badan.

Tiga remaja cedera diserang ahli ‘Geng 66’

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Keseronokan tiga remaja menjamu selera di sebuah restoran di Lintas Plaza di sini terganggu apabila mereka secara tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki dipercayai ahli ‘Geng 66’ malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, tiga remaja berusia 14 tahun itu cedera akibat diserang menggunakan kerusi oleh 10 individu selepas mereka tidak berpuas hati dengan cara mangsa menolak untuk menyertai kumpulan mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Rakhman berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang menjamu selera di restoran berkenaan sebelum didatangi kumpulan terbabit.

“Salah seorang daripada kumpulan penyerang itu bertanyakan kepada ketiga-tiga mangsa dari kumpulan mana, namun menerangkan mereka bukan dari mana-mana kumpulan serta tidak mahu menyertai mana-mana kumpulan.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian terus diserang menggunakan kerusi oleh kumpulan berkenaan sebelum ditenangkan oleh pemilik restoran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

George berkata, akibat kejadian itu, seorang mangsa mengalami kecederaan lebam di mata kiri dan siku kanan, manakala dua lagi rakannya turut cedera di tangan dan lebam di mata.

“Semua mangsa dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati salah seorang mangsa mengenal pasti suspek yang mulakan rusuhan itu dan hasil semakan dengan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya mengenalpasti beberapa suspek yang terbabit,” katanya.

George berkata, usaha mengesan dan menahan semua suspek yang terbabit sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menyalurkan kepada pegawai penyiasat IPD Kota Kinabalu, Inspektor P. Palani Nathan di talian 016-4122835,” katanya.

Kembali UTAMA