PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

November 2020 - page 5

Belanjawan 2021: Bukti BN terus bela kebajikan rakyat

in Belanjawan 2021 by

KUALA TERENGGANU – Keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 peringkat dasar semalam disambut baik semua pihak.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, keputusan yang mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang itu sememangnya ditunggu malah beberapa perubahan yang dibuat merupakan sebahagian daripada apa yang diperjuangkan Barisan Nasional (BN).

“Inilah perjuangan BN untuk membantu rakyat. Bukan kita menolak Belanjawan 2021 tetapi kita mahukan ia bersifat inklusif dan menyeluruh dalam membela kebajikan rakyat.

“Semoga pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana yang diharapkan rakyat selama ini dapat membantu sedikit sebanyak mereka yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi semalam.

Najmil Faiz berkata, beberapa berita gembira ditunggu rakyat terutama pengeluaran KWSP yang telah diperluaskan berbanding pengumuman kerajaan sebelum ini serta pengumuman lanjutan moratorium bagi mengurangkan bebanan rakyat.

“Semua pencarum KWSP boleh memohon mengeluarkan simpanan daripada akaun satu KWSP tidak kira sama ada mereka ahli pekerja sektor formal atau bekerja sendiri termasuklah yang aktif mencarum atau tidak.

“Kerajaan turut meluluskan moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank diberi secara automatik kepada golongan B40 manakala moratorium untuk golongan M40 dan T20 perlu memohon kepada bank masing-masing.

“Kita harap keputusan ini memberi kelegaan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, intipati Belanjawan 2021 yang diumumkan kerajaan pada 6 November lalu mendapat pelbagai kritikan dan pendapat termasuk dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021: Dipinda dan lulus untuk rakyat

Permohonan Jamal batal saman fitnah Teresa Kok ditolak

in Mahkamah by

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok terhadapnya berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Panel tiga hakim iaitu Datuk Suraya Othman, Datuk Has Zanah Mehat dan S. Nantha Balan turut memerintahkan Jamal membayar kos RM7,000 kepada Kok.

Prosiding kes rayuan itu dilaksanakan menerusi aplikasi Zoom. Peguam V. Mugunthan dan Mohammad Fauzi Abdul Samad mewakili Jamal, sementara Datuk Sankara Nair, Tan Han Sam dan Elyse Ng Zi Qian bertindak bagi pihak Kok.

Sankara berkata, susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, kes itu akan diteruskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan 3 Januari depan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh perbicaraan.

ARTIKEL BERKAITAN Kes saman Teresa Kok, Jamal mula 29 April

Mugunthan ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah.

Jamal memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Januari lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman fitnah itu.

Beliau memfailkan permohonan itu pada 25 April 2019 atas alasan tiada klausa tuntutan yang munasabah dalam tuntutan saman Teresa.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh, memfailkan saman itu pada 6 April 2017, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

Lelaki dituduh sebabkan kematian warga emas

in Mahkamah by

MELAKA – Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang rakannya pada 10 November lalu.

Tertuduh, Rashidee Abd Razak, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Rashidee dituduh menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun dengan mengetahui bahawa perbuatannya mungkin menyebabkan kematian.

Dia dituduh di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh yang turut didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera ke atas bekas isterinya yang berusia 26 tahun, mengaku bersalah di atas pertuduhan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, Rashidee berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Hospital Melaka pada jam 6.45 petang 10 November lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara mahkamah.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Long Meng Si merayu kepada mahkamah agar jaminan dan hukuman yang rendah dikenakan kepadanya, kerana dia kini menanggung ibunya.

Elesabet kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Disember depan. – Bernama

Dua beradik didakwa eksploitasi wanita Indonesia

in Mahkamah by

TELUK INTAN – Dua beradik wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagangkan enam wanita warga Indonesia berumur antara 22 hingga 40 tahun untuk eksploitasi paksa kerja dan mengambil pekerja tanpa pas yang sah di Tanjung Malim sejak 11 tahun lalu.

Lie Ying Har, 53, yang didakwa atas dua pertuduhan dan adiknya Lie Ying Ping, 50, yang mempunyai lima pertuduhan mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ying Har didakwa memperdagangkan seorang wanita bagi maksud eksploitasi paksa kerja di sebuah rumah di Taman Seri Indah, Tanjung Malim pada 2 November lalu dan pendakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda.

Bagi pertuduhan kedua, Ying Har didakwa mengambil bekerja seorang wanita yang tidak mempunyai pas sah di alamat sama pada pertengahan 2009 dan didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli dan Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala kedua-dua beradik itu diwakili peguam Fong Phooi Nam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua dengan masing-masing seorang penjamin.

Sementara itu, Ying Ping didakwa memperdagangkan empat wanita bagi maksud eksploitasi paksa kerja di dua kedai di Lot 2, PT 5032 dan Lot 4, PT 5034, Jalan Rumah Rehat, Tanjung Malim, pada 2 November lalu dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda.

Norita membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin.

Ying Ping turut didakwa mengambil bekerja seorang wanita yang diperdagangkan oleh kakaknya tanpa pas yang sah di sebuah kedai di Lot 2, PT 5032, Jalan Rumah Rehat Tanjung Malim pada 7 November lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut menetapkan 18 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes kedua-dua tertuduh.

Kes berkenaan dikendalikan di Teluk Intan kerana tiada Mahkamah Sesyen di Tanjung Malim. – Bernama

‘Wang helikopter’ tidak mustahil untuk dilaksana

in Wacana by

SHAH ALAM – Kaedah wang helikopter dianggap tidak mustahil untuk dilaksanakan di negara ini sebagai satu jalan keluar daripada kemelut ekonomi namun beberapa penelitian perlu dilakukan.

Menurut Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad, ia perlu mengikut kaedah-kaedah yang terkawal seperti dari segi bagaimana percetakan mata wang dilakukan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri perlu dijadikan satu badan bebas untuk menguruskan percetakan wang tersebut.

“Perlaksanaan mencetak wang ini ia berada di bawah tanggungjawab BNM. Jadi dari segi penciptaan dan pemusnahan wang itu adalah di bawah BNM.

“Jadi perkara ini perlu dilakukan dengan penuh penelitian. Saya nampak perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan dengan beberapa penelitian kaedah yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Edisi Ke-211 bertajuk ‘Wang helikopter: Selamat atau bunuh sistem ekonomi?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian di sini malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Timbalan Pengarah Pusat IDEA-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zulkefly Abdul Karim dan Timbalan Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz serta Herleena Pahlavy sebagai moderator.

Menyingkap semula bagaimana idea wang helikopter itu timbul, Dr Abdul Rahim memberitahu, ia ditimbulkan kerana keadaan ekonomi negara yang tidak stabil kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Ramai rakyat di luar sana khususnya yang makan gaji dan berniaga mengalami kesempitan hidup, kehidupan mereka terjejas. Jadi kerajaan memerlukan wang yang untuk menyokong perbelanjaan kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Jadi kenapa wang helikopter disebut? Wang helikopter adalah salah satu cara kerajaan untuk mendapatkan wang bagi menyokong perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengemukakan cadangan wang helikopter itu telah mengadakan perbincangan tentang idea itu sebelum ia disampaikan kepada rakyat.

“Cuma mungkin mesej itu tidak disampaikan dengan tepat. Kaedah itu sebenarnya memang boleh dilaksanakan cuma pastinya ada risiko yang pasti semua orang tahu.

“Risikonya menjurus kepada inflasi yang tinggi dan mungkin ke arah keruntuhan ekonomi dari segi susut nilai mata wang dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya kerajaan meneliti dan mengatasi apakah punca ke arah kesan negatif dengan pelaksanaan wang helikopter, kemungkinan negara boleh mencari jalan untuk melaksanakannya.

“Melalui kaedah yang betul dan terkawal, perkara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan tapi kita kena ingat ada kesan negatif pada masa akan datang,” katanya.

Operator kilang maut dirempuh pemandu mabuk

in Tragedi by

KAJANG – Seorang operator kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk dalam kejadian di Kilometer 4 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi, kereta Mercedes Benz yang dipandu lelaki berusia 41 tahun itu dalam perjalanan dari pekan Kajang menghala ke Plaza Tol Lekas.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu melanggar dari arah belakang sebuah motosikal jenis Modenas dinaiki seorang lelaki berusia 37 tahun.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut saksi yang melihat kejadian memaklumkan kereta itu dipandu laju dalam keadaan ‘zig zag’ selepas melepasi Plaza Tol Lekas sebelum merempuh motosikal mangsa.

Katanya, ujian alkohol dilakukan terhadap pemandu itu mendapati kandungan alkohol melebihi paras dibenarkan.

“Soal siasat pemandu terbabit mengaku ada minum minuman keras sebelum kejadian,” katanya.

Tambahnya, pemandu terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Bekas Pengarah DBKL bebas pertuduhan salah guna kedudukan

in Mahkamah by

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membebaskannya daripada lapan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan lapan unit kondominium berjumlah hampir RM2 juta, tujuh tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah melepas dan membebaskan Syed Afendy Ali selaku responden selepas membenarkan permohonannya untuk mengetepikan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, pada 20 Mac 2018.

Dalam penghakimannya, Collin berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan intipati dalam Seksyen 165 Kanun Keseksaan bahawa perayu menerima harta teralih untuk individu yang disebut dalam pertuduhan.

“Mahkamah membenarkan rayuan perayu dan denda itu dipulangkan,” katanya.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izahani [email protected] Zainol manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili responden.

Pada 20 Mac 2018 lalu, Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 terhadap Syed Afendy Ali Syed selepas didapati bersalah atas lapan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium berjumlah bernilai hampir RM2 juta.

Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan Syed Afendy Ali untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, Syed Afendy Ali yang ketika itu Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini.

Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd adalah untuk empat individu (ketika kejadian) iaitu Minah Abdullah, 75; Mazwan Amin Mohd Noor, 46; Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali; 30, dan Rodziah Abd Samad, 56.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di Pejabat Pengarah JPEPP DBKL di sini, di antara 6 September 2013 dan 16 Oktober 2014.

Malaysia belum sampai tahap guna konsep ‘wang helikopter’

in Wacana by

SHAH ALAM – Kedudukan kewangan Malaysia ketika ini dilihat masih belum sampai ke tahap perlu menggunakan konsep wang helikopter atau kerajaan perlu mencetak wang lebih untuk menstabilkan ekonomi.

Timbalan Pengarah Pusat IDEA-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zulkefly Abdul Karim berkata, secara asas, Malaysia dan mana-mana negara sekali pun di dunia mempunyai tiga cara untuk memastikan kerajaan mendapat hasil iaitu pertama menerusi kutipan cukai, kedua terbitan bon dan ketiga dengan mencetak wang.

“Jadi dalam konteks negara kita sekarang kita masih tidak ada masalah kerana cukai kita masih dapat menampung perbelanjaan operasi walaupun bajet kita defisit.

“Tapi defisit itu untuk membiayai perbelanjaan pembangunan melalui terbitan bon. Bon diterbitkan bertujuan membiayai perbelanjaan pembangunan.

“Justeru, kita masih belum perlu bergantung kepada (kaedah) cetak wang sebab cara pertama dan kedua masih boleh membiayai belanjawan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Edisi Ke-211 bertajuk ‘Wang helikopter: Selamat atau bunuh sistem ekonomi?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian, di sini malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad dan Timbalan Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz serta Herleena Pahlavy sebagai moderator.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kalau dilihat kepada sejarah, negara seperti Zimbabwe dan Venezuela menggunakan cara wang helikopter kerana tidak boleh menggunakan kaedah cukai dan terbitan bon.

“Zimbabwe dan Venezuela nak kenakan cukai tak mampu sebab ekonomi negara mereka telah jatuh. Nak terbitkan bon siapa nak beli bon? Jadi mereka terpaksa beralih kepada pilihan ketiga dengan cetak wang,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Zulkefly berkata, Malaysia tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan sekarang kerana belanjawan yang defisit boleh menjatuhkan gred bon negara.

Menurut beliau, ketika ini bon negara masih lagi dalam gred pelaburan yang bermaksud mempunyai risiko yang rendah sekali gus berjaya menambat hati pengurus dana untuk melabur dalam bon-bon di Malaysia.

“Kalau bajet negara berterusan pada angka yang besar, kemungkinan lima tahun akan datang bon kita daripada gred pelaburan sekarang boleh turun ke gred yang teruk seperti kadar bunga dijanjikan tinggi tetapi risiko tinggi. Kalau begini, siapa yang nak beli bon kita?

“Bon yang bagus adalah bon yang mendapat penarafan tinggi. Itu kesan sampingan daripada bajet defisit,” katanya.

Dr Zulkefly menjelaskan, idea wang helikopter juga dilihat bukan satu keperluan untuk dilakukan ketika ini kerana disiplin dasar fiskal negara juga masih terkawal iaitu bajet defisit ditampung melalui terbitan bon yang hanya untuk membiayai pembangunan.

“Namun dari segi trend, kita dapati lebihan di dalam akaun semasa kita semakin mengecil. Jadi satu reformasi fiskal perlu dilakukan pihak pemerintah bagaimana untuk menjana pendapatan.

“Persoalannya adakah kita perlu bergantung kepada cukai sedia ada atau mempelbagaikan struktur cukai kita sebab asas cukai kita masih lemah.

“Kita masih bergantung kepada cukai secara terus. Contohnya, berapa ramai pembayar cukai? Mungkin dua juta tetapi yang mengelak cukai berapa ramai? Mungkin lebih dua juta,” katanya.

Oleh itu, beliau memberitahu, keadaan itu menuntut dilakukan satu reformasi fiskal khususnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan setiap rakyat yang layak dan usahawan untuk membayar cukai.

Tambahnya, usaha kerajaan menerusi Belanjawan 2021 dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi sebelum ini sedikit sebanyak menyamai konsep wang helikopter era moden ketika ini.

“Apa yang kerajaan buat bertepatan untuk menangani gelombang pandemik koronavirus (Covid-19) untuk membantu golongan rentan dengan pelbagai bantuan kerajaan yang sudah diberi sebelum Bajet 2021 lagi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Kalau ikutkan, ia bukan sepenuhnya konsep wang helikopter tapi mungkin bila era moden kita boleh anggap itu ‘helikopter drop’ juga sebab perspektif yang berbeza melalui peranan kerajaan.

“Tapi dari segi definisi standard, wang helikopter adalah Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak wang dan diagihkan kepada rakyat,” katanya.

Penganggur mengaku salah ugut bunuh ibu

in Mahkamah by

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tuduhan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya, Ahad lalu.

G Surendran, 38, didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya berusia 63 tahun dengan niat untuk membunuh, di sebuah rumah di Bandar Baru Selayang, Gombak di sini pada jam 1 pagi, 22 November lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menetapkan 11 Januari 2021 untuk menjatuhkan hukuman ke atas lelaki itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah kerana anak guamnya tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Difahamkan ketika kejadian tertuduh dalam keadaan mabuk dan berlaku perselisihan faham antara tertuduh dengan ibunya. – Bernama

Tidak timbul soal jadi hero, kata Hanipa

in Belanjawan 2021 by

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin bersikap terbuka dengan tindakan ahli-ahli Parlimen yang tidak bangun berdiri bagi menyokong undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 semalam.

Beliau berkata, biarpun Pakatan Harapan (PH) dan PH Plus gagal melakukan undi belah bahagi dan kalah dalam pertempuran tetapi mereka akan memastikan rakyat memenangi ‘peperangan’ ini.

Menurutnya, dari segi prosedur Parlimen, penentuan kelulusan belanjawan hanyalah ketika bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dan ketika itu ia bakal menjadi penentu.

“Sudah tentu, mereka rasa gembira bila melihat apa yang berlaku semalam di Parlimen. Apatah lagi para penyokong PH Plus juga kecewa dan mengkritik pedas PH Plus.

“Ya, ramai yang kecewa. Saya tak mahu apologetik. Kami juga hakikatnya kecewa seperti anda semua.

“Untuk kerajaan tebuk atap yang khianat, kami mungkin kalah pertempuran, tetapi kami dan rakyat akan memenangi perperangan ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu hanya 13 orang pembangkang bangun panas di media sosial

Ada arahan PH minta ahli Parlimen tidak undi belah bahagi>

Anthony Loke mengaku arah ahli Parlimen DAP tidak bangun

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi 13 ahli Parlimen yang berdiri menyokong undi belah bahagi semalam, mereka telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong PH dan PH Plus.

Menurutnya, dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN) pula, ahli-ahli Parlimen yang berdiri menerima pelbagai kecaman dan makian.

Bagaimanapun katanya, Ahli Parlimen Seremban daripada DAP, Anthony Loke telah memberi sebab bahawa adanya saranan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menyokong undi belah bahagi yang menyebabkan ahli-ahli Parlimen DAP mengikut saranan tersebut.

Mohamed Hanipa juga percaya Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu juga tidak sempat menyalurkan saranan tersebut kepada ahli-ahli Parlimen Amanah yang lain termasuk kepada dirinya.

“Ya, Presiden dan Timbalan Presiden Amanah (Datuk Seri Salahuddin Ayub) walaupun berhasrat untuk bangun, membatalkan hasrat untuk bangun kerana menghormati saranan ketua pembangkang.

“Kami percaya, mungkin Presiden Amanah tidak sempat atau terlepas pandang untuk salurkan saranan ketua pembangkang tersebut kepada ahli Parlimen Amanah.

“Oleh itu, kami yakin, tiada sebarang masalah untuk kami bangun menyokong Pokok Sena semalam. Tidak timbul sama sekali soal untuk jadi hero atau wira,” katanya lagi.

Kisah semalam. 1. Bermula dari petang semalam hingga beberapa hari berikutnya, kita telah dan mungkin akan terus…

Posted by Peguam PAS – Dulu on Thursday, November 26, 2020

1 3 4 5 6 7 170
Kembali UTAMA