Lelaki didakwa tendang, tumbuk isteri

in Mahkamah by
Muhamad Arif Aniq Mirza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka kerana mencederakan isterinya pada Ogos lalu.

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya dengan menendang dan menumbuk mangsa pada Ogos lalu.

Muhamad Arif Aniq Mirza Kamaludin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Izwan Mohamad Noh.

Tertuduh yang merupakan pekerja pasar raya didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Musfirah Mustaffa, 21, dengan menendang belakang badan, menumbuk bibir dan mengetuk paha menggunakan telefon bimbit.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Paya Ikan, Bukit Baru kira-kira jam 6.30 petang pada 29 Ogos lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas tertuduh pulang ke rumah dari tempat kerja dan mendapati bayi mereka berusia tiga bulan menangis tanpa dipujuk sebelum tertuduh kemudiannya memarahi mangsa sehingga berlaku pergaduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 dengan penjamin adalah isteri tertuduh serta syarat tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Namun tertuduh yang diwakili peguam, Amritpal Singh merayu agar jaminan boleh dibuat oleh ibu tertuduh kerana isteri anak guamnya tidak dapat dikesan dan bersetuju dengan syarat tambahan diletakkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan jaminan dibuat oleh ibu tertuduh serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes itu.