PH tak nyata pendirian sokong UMNO jadi MB

in Berita by

IPOH – Pakatan Harapan (PH) tidak menyatakan sebarang pendirian sama ada menyokong calon UMNO sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Ketika diaju soalan itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi hanya saling berpandang dan tersenyum.

Ketiga-tiga mereka yang hadir ke Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini juga enggan memberikan komen lanjut butiran pertemuan itu.

Bagaimanapun mereka mengesahkan, tiada sebarang nama calon menteri besar daripada PH dikemukakan kepada baginda Sultan.

Asmuni berkata, dengan apa yang berlaku, sukar untuk mereka mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Tak ada apa nak komen, kita doakan yang terbaik untuk kerajaan Perak,” katanya.

Farhash Wafa pula berkata, perkembangan politik terkini di Perak sekarang dalam kedudukan saling berubah.

“Jadi kami sendiri pun tidak boleh beri apa-apa komen, kami datang hari ini untuk menyatakan perkembangan terkini kepada Tuanku,” katanya.

Dalam nada sama, Kor Ming memberi jaminan, satu keputusan terbaik akan dibuat baginda Tuanku untuk kesejahteraan semua pihak.

“Kita mohon semua pihak bersabarlah sehingga ada satu keputusan yang baik kepada semua,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Pas tak jadi menghadap Sultan Nazrin

UMNO sudah cukup majoriti lantik MB: Ahmad Zahid

Kerjasama UMNO: DAP mahu bentuk kerajaan berbilang kaum