Lebih RM300,000 lesap angkara Macau Scam

in Edisi Terengganu by

KUALA TERENGGANU- Seorang pesara yang takut ditangkap polis selepas didakwa terbabit dengan kes pengubahan wang haram terpaksa berputih mata selepas wang simpanan berjumlah lebih RM300,000 lesap ditipu sindiket Macau Scam.

Insiden bermula awal Disember apabila mangsa wanita warga emas berusia 70-an itu menerima panggilan daripada individu yang mendakwa daripada syarikat telekomunikasi dan memberitahu mangsa dikesan ada membuat permohonan lesen judi dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa menafikannya sebelum panggilan itu disambungkan kepada anggota polis dikenali Sarjan Mustafar, Inspektor Mazlan dan Inspektor Maria Adriana di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang.

Menurutnya, anggota polis itu memberitahu mangsa adalah orang dikehendaki kerana terbabit dengan kes pengubahan wang haram sebelum diminta memberikan maklumat akaun bank untuk tujuan audit dan siasatan.

“Mangsa kemudian memasukkan semua wang simpanannya dan mencairkan modal pelaburannya dengan pihak bank ke dalam akaun miliknya yang berjumlah lebih RM300,000.

“Selepas itu, mangsa menyedari berlaku 28 kali transaksi pindahan wang ke dalam tujuh akaun berbeza tidak dikenali berjumlah lebih RM300,000.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada Selasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Zambri berkata, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sekiranya menerima panggilan telefon yang mengaku daripada pihak penguat kuasa atau mana-mana agensi.

“Sekiranya menerima panggilan sebegini, buatlah semakan terlebih dahulu dan jangan sesekali memberikan maklumat perbankan internet kepada mana mana pihak yang tidak dikenali,” katanya.