PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2020 - page 2

Kes denggi meningkat 25 peratus di Negeri Sembilan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

SEREMBAN – Bilangan kes denggi yang didaftarkan di negeri ini terus meningkat sebanyak 18 kes atau 25 peratus sehingga 26 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, penambahan jumlah kes baharu itu menjadikan kumulatif kes denggi adalah sebanyak 2,876 kes berbanding 2,305 kes, minggu yang sama tahun 2019.

“Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah sebanyak 2,459 kes di daerah Seremban, 98 kes di daerah Tampin, daerah Port Dickson (90), Jempol (80), Rembau (69), Jelebu (54), dan 26 kes di daerah Kuala Pilah.

“Tiada kematian baharu denggi dilaporkan pada minggu semasa, menjadikan kumulatif kematian denggi kekal dengan 10 kes, berbanding 11 kes dengan kadar kematian kes sebanyak 0.5 peratus, pada tempoh yang sama bagi tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, sebanyak tujuh lokaliti wabak yang masih aktif, di mana kesemua lokaliti wabak berada di daerah Seremban.

Katanya, walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula 18 Disember sehingga 31 Disember 2020 di Seremban, aktiviti pencegahan dan kawalan masih diteruskan seperti aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes ditumpukan di premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

“Masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan kawasan premis sendiri, sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes, sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi.

“Masyarakat amat digalakkan untuk menjalankan gotong-royong kendiri di kawasan rumah masing-masing di samping menjaga penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

“Ini bersesuaian dengan slogan ‘Kita Jaga Kita’ bukan sahaja untuk menghindari jangkitan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara khususnya Negeri Sembilan, tetapi juga untuk mengekang penularan jangkitan denggi,” katanya.

Kapal tangki ditahan berlabuh tanpa kebenaran

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki selepas dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di luar batas pelabuhan Melaka di Tanjung Kling, di sini pada Rabu.

Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, dalam kejadian jam 1.15 petang itu kapal tangki berkenaan dikesan berlabuh oleh Jabatan Laut Malaysia pada kedudukan lebih kurang 4.9 batu nautika barat daya dari Pulau Upeh.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kapal yang dikendalikan 26 kru warga Republik of Hellenic, Romania, Filipina dan Rusia berusia antara 19 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh oleh pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Maklumat pengesanan telah disampaikan kepada bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin operasi harian di perairan Melaka.

“Kapal tangki itu telah ditahan dan mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Ustaz Budak dituduh lagi esok

in Mahkamah by

KOTA BHARU – Pendakwah dikenali sebagai Ustaz Budak yang juga mudir sebuah madrasah tahfiz di Machang yang terpalit isu gangguan seksual jantina sejenis akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu lagi esok Khamis bagi berdepan dakwaan salah laku sekali gus menafikan berita dia sudah bebas sepertimana ditularkan dalam kalangan ‘Jabatan Netizen’ sejak Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat mengesahkan perkara itu dan menyatakan berita tersebar di media sosial tersebut adalah palsu.

“Ustaz Budak masih berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan empat laporan yang dibuat terhadapnya.

“Dia belum dibebaskan lagi, masih ditahan reman sehingga 3 Januari tahun depan. ‘Jabatan Netizen’ tidak tahu ni dan saya nasihatkan jangan sebar berita palsu.

“Hari ini saya sahkan dia masih dalam tahanan polis,“ katanya kepada pemberita pada Rabu hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, satu kes dikaitkan dengan ustaz berkenaan, Syamsul Zaman Sukri, 32, sudah selesai didakwa di Mahkamah Kota Bharu manakala tiga lagi dalam siasatan.

“Tiga kes ini sudah pun dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, Syamsul Zaman mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang ahli perniagaan berusia 30 tahun yang sama jantina dengannya.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semua untuk serahan dokumen bagi kes tersebut pada 21 Januari tahun hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ustaz Budak’ didakwa cabul lelaki

Bas henti-henti RM1 beroperasi selewatnya April depan

in Edisi Perak by

IPOH – Perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM1 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dan Chenderiang akan dilaksanakan selewat-lewatnya, April depan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu kini dalam peringkat tender bagi memilih syarikat operator bas.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan tender ini.

“Sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan ini akan kita laksanakan sebolehnya sebelum Ramadan tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurutnya, perkhidmatan itu perlu disegerakan selaras dengan pelaksanaannya untuk memberi kemudahan pengangkutan kepada penduduk di pedalaman terutama orang asli.

“Sebelum ini memang tidak ada perkhidmatan bas disediakan di kawasan itu, jika bas ini beroperasi kelak, ia pasti dapat memberi manfaat kepada lebih 8,000 penduduk orang asli di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memang bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan sama ke kawasan DUN lain namun bergantung kepada keperluan dan permintaan.

“Kita akan lihat dulu impak pelaksanaan bas ini dalam tempoh satu tahun, sekiranya berjaya dan mempunyai keperluan, maka perkhidmatan sama akan diperluas ke kawasan lain pula,” katanya.

Pertengahan Disember lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan peruntukan RM2 juta dalam Belanjawan Negeri 2021 bagi perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM 1 ke Daerah Batang Padang dan Kuala Kangsar.

Kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti itu di Daerah Manjung sejak tahun 2019.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zolkafly berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lanjut berhubung insiden di Jambatan Sultan Yusof di Batu 5, Teluk Intan Sabtu lepas hingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal tercampak ke dalam Sungai Perak.

Katanya, sebahagian laluan di kawasan jambatan itu masih dalam pembinaan dan dimaklumkan pihak kontraktor telahpun memasang dan meletakkan papan tanda keselamatan untuk panduan pengguna.

“Kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak, cuma kita akan ambil tindakan susulan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Kes penipuan di Tapah catat kerugian RM2.1 juta

in Edisi Perak by

TAPAH – Kurang pendedahan mengenai modus operandi jenayah penipuan dalam talian menjadi punca utama mangsa diperdaya hingga merekodkan kerugian lebih RM2.1 juta sepanjang tahun ini di daerah Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kes yang diterima melibatkan pinjaman yang tidak wujud melalui laman sosial seperti Facebook, Macau Scam, pembelian barangan secara dalam talian, penipuan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan parcel scam.

“Seperti kes pinjaman tidak wujud, modus operandi yang digunakan ialah penyamaran sebagai pegawai bank yang menawarkan skim pinjaman bayaran bulanan yang murah dengan kadar faedah yang rendah.

“Walaupun sindiket ini menjanjikan proses pinjaman yang mudah dan segera, namun mereka akan mengenakan beberapa caj tambahan yang tidak wujud di mana bayaran itu kononnya akan dikembalikan bersama wang pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, bagi kes Macau Scam pula, suspek akan menyamar sebagai pegawai dari bank, mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Suspek akan menakutkan mangsa dengan menyatakan mereka telah terlibat dengan jenayah seperti pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan pengeluaran waran tangkap ke atas mangsa.

“Menerusi modus operandi itu, suspek akan mengenakan caj tambahan yang tidak wujud kepada mangsa bagi menyelesaikan kes jenayah tersebut,” katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat akaun bank atau kad wang mesin juruwang automatik (ATM) kepada individu tidak dikenali bagi mengelakkan diri mereka menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah turut menerima laporan membabitkan kes pecah amanah jenayah membabitkan kerugian sebanyak RM223,182.70 dan kes pinjaman wang tidak berlesen berjumlah RM142,000.

Penguat kuasa perlu lebih agresif

in Wacana by

SHAH ALAM – Bahagian penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara perlu lebih agresif dalam mengesan modus operandi yang dilakukan kartel daging import.

Usahawan daging import, Mohd Hafis Khairulah berkata, ini kerana golongan berkenaan sentiasa menukar strategi penyeludupan mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dalam isu kartel (daging import) ini mereka sentiasa lebih ke hadapan daripada penguat kuasa itu sendiri. Dia lebih 10 tapak ke hadapan, tetapi kita (penguat kuasa) masih berada dalam tapak tahun lepas lagi.

“Jadi, sepatutnya penguatkuasaan kita sendiri kena lebih ke hadapan daripada kartel. Sebab mereka akan sentiasa tukar modus operandi.

“Bila dah kena serbu sekarang ini (kartel daging import). Jadi mereka sentiasa tukar modus operandi. Jadi kita kena belajar lagi apa modus operandi yang akan mereka buat. Itu yang penting,” katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohd Hafis turut mengesyorkan agar satu unit khas yang dianggotai kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau agensi berkaitan ditempatkan di pintu masuk sempadan negara.

Menurutnya, langkah itu wajar dilakukan bagi membolehkan unit berkenaan membuat pemeriksaan ke atas produk import yang dibawa masuk khususnya makanan bagi memastikan tidak timbul lagi status halal yang diragui.

Selain itu katanya, penguat kuasa juga perlu memantau penjualan daging secara dalam talian atau media sosial kerana didapati banyak daripada produk yang dijual itu tidak mempunyai sijil halal.

“Hasil risikan yang kami lakukan kebanyakan produk daging import khususnya wagyu yang dijual dalam talian tidak mempunyai sijil halal. Jadi pemantauan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung perkara ini,” katanya.

Wujudkan segera akta halal

in Wacana by

SHAH ALAM – Kerajaan digesa untuk segera mewujudkan akta halal bagi membolehkan tindakan kawal selia industri halal dapat diseragamkan dengan komprehensif.

Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah ini perlu dilaksanakan bagi menambah baik akta sedia ada yang terpisah mengikut kementerian atau agensi.

“Apa yang berlaku hari ini merupakan satu manifestasi (kelompongan) yang kita tidak nampak. Tapi ia membuktikan ada sesuatu yang tidak kena (dalam industri halal).

“Cabaran yang kita lalui ini cukup besar di mana ia memperlihatkan kelemahan.

“Jadi, kita minta sesuatu dilakukan oleh pembuat undang-undang supaya zahirkan kebimbangan yang berlaku hari ini dengan mewujudkan akta halal,” katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Menurutnya, ketika ini merupakan tempoh terbaik untuk mewujudkan akta tersebut supaya tidak berlaku kekeliruan dalam mengambil tindakan memandangkan akta yang terpisah mengikut kementerian dan agensi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa supaya penguat kuasa berkaitan membuat serbuan ke atas kilang atau tempat simpanan daging import bagi mengenal pasti mana yang halal atau sebaliknya.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan bagi mengatasi keresahan yang sedang dialami rakyat khususnya orang Islam ketika ini susulan pendedahan mengejut yang dibuat baru-baru ini.

Bukti industri halal negara rapuh

in Wacana by

SHAH ALAM – Isu kartel daging import yang hangat diperkatakan ketika ini jelas memperlihatkan wujudnya kerapuhan dan kelompongan dalam industri halal negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu perlu diselesaikan secara holistik bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat khususnya orang Islam terhadap produk daging import.

Menurutnya, apa yang berlaku ini seharusnya menjadi pencetus kepada kerajaan terutamanya agensi berkaitan untuk menilai kembali dasar atau tindakan yang dibuat sebelum ini.

“Apa yang berlaku hari ini ia menyerlahkan kerapuhan atau kelompongan atau pun kelemahan fundamental (asas) dalam industri halal kita sebenarnya.

“Sebab itulah untuk pengetahuan waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dulu, waktu itu saya sebagai timbalan menteri (di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kita ada mencadangkan untuk diwujudkan satu majlis halal Malaysia.

“Saya ingat lagi, majlis halal ini kerajaan telah luluskan lebih kurang empat sebelum BN jatuh pada 2018. Ia bukan sahaja diluluskan di peringkat Kabinet tapi turut dibentangkan di Majlis Raja-raja. Tapi sekarang ini kita tidak tahu apa statusnya,” katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan usahawan daging import, Mohd Hafis Khairulah, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, masa ini juga menjadi saat terbaik untuk kerajaan menilai semula struktur dan tadbir urus sistem industri halal secara komprehensif.

Katanya, ia termasuklah bagaimana untuk menyelaras semua agensi yang terlibat dalam industri halal Malaysia.

“Bukan sahaja aspek pensijilan, pemeriksaan tetapi juga kawal selia sampailah ke penguatkuasaan.

“Juga paling penting, bagaimana proses kita mendidik dan beri pencerahan kepada rakyat untuk mereka betul-betul fahami aspek halal itu,” katanya.

Isu kartel daging import: Korupsi sampai jejas halal?

in Wacana by

Sejak 23 November lalu juga, setiap hari Sinar Harian membongkar satu demi satu isu ini dengan mendapatkan penjelasan ramai pihak.

Namun masih tak nampak jalan penyelesaian – masyarakat semakin keliru, kerajaan masih membisu.

Apa selepas pembongkaran hebat ini?

Saksikan Wacana Siri 220 di semua platform media sosial SINAR HARIAN:

Portal: www.sinarharian.com.my

Facebook: https://www.facebook.com/sinarharian

Twitter: https://twitter.com/SinarOnline

Youtube: https://www.youtube.com/user/SinarHarianWebTV

#WacanaSinar

#KekalNeutral

#KartelDaging

Kembali UTAMA